SUNGAI SIPUT – Kerajaan Negeri Perak akan menambah keluasan tanaman padi untuk memenuhi keperluan domestik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata usaha itu akan dilaksanakan menggunakan kemudahan teknologi moden seperti yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Sebab itu kita berusaha seperti mana dianjurkan oleh Kementerian Pertanian supaya kita dapat menambah keluasan tanaman padi dengan menggunakan teknologi moden serta menambah bilangan pusingan.
“Sekarang ini kita keluarkan hasil lima pusingan untuk dua tahun.
“Jadi itu di antara usaha yang dibuat bagi menyediakan bekalan beras tempatan supaya mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Agrofest Peringkat Negeri Perak 2023 yang diadakan di Ladang Infoternak Sungai Siput (U), pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim.
Dalam pada itu, Saarani menggesa peniaga supaya tidak membungkus semula beras tempatan sebagai beras import dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.
“Tapi biasalah, peniaga-peniaga setengah itu, saya difahamkan mereka ‘repack’ beras tempatan kepada beras import menjadikan beras itu mahal dan beras tempatan tak cukup di pasaran.
“Itu tak adil. Kepada peniaga-peniaga janganlah begitu, beras tempatan untuk orang ‘local’ makan, bagilah peluang,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata program Agrofest ini akan kekal diadakan di Ladang Infoternak Sungai Siput (U) pada masa akan datang.
“Dalam pengetahuan saya memang selama ini, ini adalah tapak Agrofest, tapi semasa saya jadi exco pertanian, kita buat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)Gopeng dengan tujuan membolehkan bas ekspres singgah.
“Tapi sekarang kita lihat orang ramai lebih suka di tempat asal ini dan kita juga ada infra. Sebab itu kita buat di sini,” katanya. – MGPerak
[…] Perak tambah keluasan tanaman padi untuk penuhi keperluan domestik – MB […]