Perak dijangka naikkan kadar tarif air – Saarani

BAGAN DATUK – Kerajaan Negeri Perak dijangka menaikkan kadar tarif air domestik memandangkan kali terakhir ia disemak 30 tahun lalu, menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Saarani, kenaikan kadar baharu berkenaan susulan usaha kerajaan untuk melakukan semakan semula perkhidmatan bekalan air di Malaysia.

“Sehubungan itu kerajaan negeri akan membuat kajian terlebih dahulu untuk melihat berapa kadar kenaikan yang sesuai sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

“Setakat ini tiada keputusan muktamad, tapi semalam dalam mesyuarat Exco ada taklimat daripada kementerian berkaitan (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dengan Dasar Air Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Laman Perak Sejahtera 2030 di Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Bagan Datuk, sempena Program Turun Padang Cikgu Saarani, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengarah Mardi Perak, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob.

Mengulas lanjut Saarani berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan kenaikan kadar baharu taraf air itu tidak membebankan rakyat dan operator di negeri ini.

“Kita akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak iaitu kepada pengguna dan operator kerana operator memerlukan wang untuk menguruskan bekalan air di Perak,” katanya..

Berdasarkan semakan di laman rasmi LAP, tarif air yang dikenakan kepada pengguna domestik di Perak ketika ini adalah RM0.30 bagi penggunaan sifar hingga 10 meter padu (m³); RM0.70 (11-20m³) dan RM1.03 (lebih 20m³). – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI