IPOH – Rakyat Perak digalakkan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS bagi membantu kerajaan mendapatkan data sebenar berkaitan prestasi serta kualiti rangkaian internet di setiap lokasi bagi mengatasi masalah capaian yang masih dihadapi di negeri ini.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, aplikasi itu membantu orang ramai menguji rangkaian internet di sesuatu lokasi secara masa nyata, termasuk kelajuan muat turun dan muat naik, ping serta jitter.
Menurutnya, data yang dikumpulkan menerusi penggunaan aplikasi tersebut membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan mengenal pasti kawasan yang mengalami masalah liputan atau kualiti perkhidmatan dengan lebih tepat sebelum tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih bersasar.
“Setiap ujian yang dilakukan menyumbang kepada pengumpulan data yang lebih menyeluruh serta memberikan gambaran sebenar keadaan rangkaian di sesuatu kawasan bagi membantu pihak berkaitan merancang tindakan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah memperluaskan pemahaman mengenai penggunaan aplikasi tersebut dalam kalangan pegawai yang berperanan mengurus isu dan aduan rakyat.
“Kerajaan negeri telah melaksanakan taklimat berkaitan aplikasi Nexus pada 21 April lalu kepada semua Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Pegawai Khas Menteri Besar.
“Taklimat ini bertujuan memberikan pendedahan dan pemahaman kepada para pegawai mengenai fungsi serta kaedah penggunaan aplikasi itu bagi memperkemas pengurusan maklumat, khususnya berkaitan isu dan aduan yang diterima daripada rakyat.
“Pelaksanaan taklimat ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan supaya lebih cekap, tersusun dan responsif terhadap keperluan rakyat,” ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memastikan penggunaan aplikasi ini diperkasakan melalui bimbingan dan sokongan yang sewajarnya kepada pegawai-pegawai yang terlibat peringkat kepimpinan masyarakat dan masyarakat amnya dapat menggunakannya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
30 menara telekomunikasi baharu bawah JENDELA di kampung Orang Asli


