Perak gesa MAHB segerakan fasa kedua pelebaran LTSAS

IPOH – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) digesa menyegerakan fasa kedua projek pelebaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, melibatkan peruntukan sebanyak RM52 juta.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, ia selepas terdapat kemungkinan projek berkenaan ditangguhkan berdasarkan hasil perbincangan dengan pengurusan baharu MAHB.

“Dalam mesyuarat bersama pengurusan MAHB sebelum ini mereka bersetuju dengan projek ini namun di bawah pengurusan baharu ia tidak seindah yang disangka (things are not as rosy).

“Mereka (pengurusan baharu MAHB) mahu melihat pengoptimum fasa pertama dahulu,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Sesi Padanan Perniagaan Sempena Program Familiarization Trip Negara China Ke Negeri Perak di Miker Signature, di sini, pada Selasa.

Tambah Sze Yee, fasa kedua projek berkenaan tidak boleh ditangguhkan lagi memandangkan penduduk di Ipoh sudah muak menantinya meskipun diberi pelbagai janji sebelum ini.

“Pelbagai janji diberikan tetapi perkara berkenaan tidak bergerak jadi kita berharap MAHB percepatkan perkara ini memandangkan kerajaan negeri sudah menyerahkan apa yang diperlukan,” katanya.

Katanya, fasa kedua pelebaran berkenaan melibatkan pembangunan bangunan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), perkhidmatan logistik dan terminal kargo.

Mengulas mengenai fasa pertama pelebaran LTSAS, Sze Yee berkata, ia sudah memasuki 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac ini.

Ujar beliau, projek fasa pertama memberi tumpuan kepada pengoptimuman bagi membolehkan lapangan terbang berkenaan menampung sehingga 700,000 penumpang setiap tahun.

“Saya difahamkan sebelum Tahun Baharu Cina sudah siap 80 peratus tetapi kini sekitar 90 peratus dan kita jangka ia akan siap sepenuhnya pada Mac ini.

“Fasa pertama ini lebih kepada untuk mengurangkan kesesakan di balai ketibaan dan pelepasan di mana ada kaunter imigresen tambahan dan ‘autogate’ untuk keluar masuk dengan pantas,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk tujuan projek pelebaran LTSAS melibatkan RM8 juta untuk fasa pertama dan baki RM52 juta untuk fasa kedua. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Naik taraf LTSAS, Kerajaan Perak harap disegerakan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI