Perak harap lebih banyak pihak swasta terlibat CSR pendidikan

KAMPAR – Kerajaan negeri berharap lebih banyak pihak swasta dan syarikat korporat terlibat secara langsung dalam program berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya bagi menyumbang kepada pemerkasaan bidang pendidikan di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata  sumbangan meliputi kemudahan peralatan persekolahan termasuk peranti mudah alih, selain program berunsur pendidikan digital, amat ditagih bagi merapatkan jurang antara pelajar secara amnya.

“Bidang pendidikan ini bukan hanya terletak di bahu kementerian pendidikan dan pihak yang terlibat dalam bidang ini semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab kita bersama.

“Jadi dengan adanya penglibatan yang didukung oleh sektor swasta ia bukan hanya mampu memberi nilai tambah kepada bidang pendidikan itu sendiri, malah secara tidak langsung berupaya meningkatkan prestasi para pelajar ini ke arah lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Laptop Dan Program E-Kelas Melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Maxis Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah serta lebih 200 guru dan pelajar.

Terdahulu, Mohd Azlan menyampaikan sumbangan 30 unit laptop kepada lima sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar, SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, SMK Simpang Pulai, SMK Sultan Muhammad Shah dan SMK Datuk Bendahara CM Yusuf.

Beliau berkata pihaknya akan terus komited untuk memastikan pemerkasaan sektor pendidikan ditingkatkan kerana ia telah mencakupi bidang digital yang memerlukan penguasaan secara menyeluruh.

“Dalam era digital ini pendidikan bukan hanya terbentuk dalam suasana pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata.

“Ia lebih daripada itu dan seharusnya dengan pendekatan-pendekatan yang mengguna pakai kemudahan teknologi ini, ia akan memberi ruang kepada pelajar untuk memahirkan diri,” katanya.

Menyentuh mengenai program, katanya selain pemberian peranti mudah alih, Maxis turut melaksanakan program e-kelas secara percuma kepada kelima-lima buah sekolah tersebut membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima.

“Program ini melibatkan subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah selain sesi pembelajaran dalam talian secara interaktif, nota padat dan kuiz yang membantu dalam menambah pengetahuan para pelajar,” katanya.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI