Perak perhebat advokasi, teliti tubuh jawatankuasa tangani buli

IPOH – Kerajaan Perak akan mempergiatkan program advokasi dan pendidikan masyarakat serta mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani isu jenayah kanak-kanak dan buli sebagai langkah memperkukuh kesejahteraan komuniti.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, usaha itu penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih peka terhadap persekitaran dan tidak menganggap sesuatu isu sebagai urusan peribadi semata-mata.

Menurutnya, masyarakat perlu berani melaporkan sebarang aktiviti atau keadaan yang mencurigakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Kita akan menambah program-program advokasi kerana kita perlu menyebarkan ilmu mengenai tindakan dan peranan masyarakat supaya mereka lebih cakna dengan apa yang berlaku dalam komuniti.

“Kalau ada jiran atau individu yang kita lihat mencurigakan, boleh sahaja laporkan. Tidak timbul soal menjaga tepi kain orang kerana kita tidak mahu apabila sesuatu kes sudah berlaku, barulah timbul rasa menyesal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Prismanita dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) Perak 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Dr Faridah Awang.

Salbiah berkata, penekanan terhadap aspek kesejahteraan keluarga dan masyarakat adalah selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan ekonomi malah pembangunan sosial.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memberi perhatian kepada isu membabitkan pelajar termasuk kes buli menerusi pelbagai program advokasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Program advokasi bersama Bahagian D11 PDRM sedang dilaksanakan dan kita juga sedang merancang Program Perisai khusus untuk pelajar.

“Saya juga akan mengadakan perbincangan dengan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Datuk Khairudin Abu Hanipah bagi melihat keperluan mewujudkan jawatankuasa menangani jenayah kanak-kanak dan isu buli dengan melibatkan rakan-rakan strategik,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI