IPOH – Perak tidak menghalang penganjuran sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah bagi semua institusi di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di negeri ini tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang arahan melarang sambutan berkenaan termasuk ke atas 28 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Hari Guru ini dianjurkan untuk membolehkan masyarakat termasuk ibu bapa dan pelajar sendiri menyatakan penghargaan kepada guru-guru yang telah berkhidmat kepada masyarakat, sekolah dan pelajar.
“Jadi, sebagai bekas guru, saya tidak pasti atas sebab apa pula jika kita hendak menghalang mereka daripada membuat penganjuran majlis seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Peringkat Antarabangsa (InERIC) 2026 di Institut Tadbiran Islam Perak, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim serta Pengarah Perak Culinary Arts Academy@Kolej Komuniti Chenderoh, Meor M.Sharifuddin Meor Shukri.
Mengulas tentang alasan bagi langkah penjimatan, Saarani berkata, langkah berjimat masih boleh dilaksanakan tanpa perlu menghalang terus daripada diadakan Sambutan Hari Guru.
Jelas beliau, kaedah penjimatan melalui kaedah pengurangan kos penganjuran boleh dilaksanakan mengikut kemampuan masing-masing tanpa menjejaskan tujuan utama sambutan Hari Guru itu sendiri.
“Misalnya, kalah sebelum ini berbelanja RM1,000 (untuk Sambutan Hari Guru), (hari ini) kurangkan kepada RM400, itu pun sudah dikira berjimat. Jadi masing-masing ada tafsiran sendiri terhadap kaedah penjimatan,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran jabatan itu tidak dibenarkan mengadakan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah bagi tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan saranan kerajaan supaya rakyat berbelanja secara berhemah susulan ketidaktentuan geopolitik semasa.
Beliau bagaimanapun berkata, sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan tetap diadakan pada 21 Mei depan dengan pengiktirafan kepada tokoh guru serta sekolah cemerlang.

Terdahulu pada majlis, Saarani menyampaikan hadiah kepada 20 pemenang bagi enam kategori Pertandingan Inovasi InERIC 2026 antaranya inovasi kreatif, inovasi digital, inovasi pengajaran dan pembelajaran, serta Perak Creative Idea and Recycle Idea 2026.
Program yang memasuki tahun keempat siri penganjuran itu menerima 178 penyertaan inovasi serta 103 penyertaan penyelidikan dari pelbagai institusi pendidikan tempatan dan luar negara termasuk Indonesia dan Singapura.
Bertemakan ‘Kreatif dan Inovatif Pemacu Masyarakat MADANI’, InERIC 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 Mei lalu itu dianjurkan JAIPk dengan kerjasama Perak Culinary Arts Academy@Kolej Komuniti Chenderoh (PCAA@KKCP) dan Institut Tadbiran Islam Perak.
Selain itu ia juga mendapat kerjasama strategik institusi pendidikan dari dalam dan luar negara antaranya, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Thaksin University Thailand, Rajamangala University of Technology Lanna Thailand, Politeknik Negeri Jakarta Indonesia serta Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei Darussalam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


