Perak tubuh jawatankuasa rentas agensi tangani kes kecurian kabel

IPOH – Perak akan menubuhkan sebuah jawatankuasa rentas agensi bagi menangani kes kecurian kabel telekomunikasi tembaga serta lurang terbuka di negeri ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertindak sebagai urus setia dan turut dianggotai penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Katanya, cadangan penubuhan jawatankuasa itu susulan ancaman serius terhadap isu berkenaan yang melibatkan unsur khianat serta sabotaj terhadap kemudahan telekomunikasi negara.

“Jawatankuasa ini akan menjadi platform utama penyelarasan antara agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan tindakan yang lebih tersusun, bersepadu dan berkesan dalam membanteras isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Mohd Azlan berkata, peningkatan kes lurang terbuka yang direkodkan sejak beberapa tahun di negeri ini juga semakin membimbangkan di samping ia memberi implikasi serius terhadap keselamatan awam.

Kata beliau, sebanyak 539 kes berkenaan telah direkodkan bagi tahun 2024 dan ia meningkat dengan ketara kepada 908 kes pada tahun seterusnya.

Beliau memberitahu, sehingga Mac lalu, sebanyak 377 kes lurang terbuka telah direkodkan, iaitu peningkatan sebanyak 68 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Kes lurang terbuka dilaporkan secara meluas dan fenomena ini berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencuri kabel bawah tanah. Apabila mendapati kabel telah tiada, penutup lurang dibuka dan dibiarkan tanpa ditutup semula.

“Perkembangan ini telah mewujudkan risiko keselamatan yang serius kepada orang awam, khususnya pengguna jalan raya, memandangkan banyak lurang terletak di laluan trafik aktif,” jelasnya.

Mengulas lanjut Mohd Azlan berkata, kes berkenaan turut melibatkan kes khianat atau ‘vandalisme’ pemotongan kabel fiber serta merosakkan Kabinet Agihan Gentian (FDC) yang berada di tepi jalan.

Beliau berkata, sebanyak 517 kes berkaitan insiden itu telah direkodkan bagi tempoh tahun 2025 sehingga 31 Mac lalu.

“Kes-kes khianat yang berlaku menyebabkan gangguan perkhidmatan telekomunikasi melibatkan perkhidmatan suara serta jalur lebar talian tetap dan mudah alih.

“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini adalah khianat dan sabotaj kepada kemudahan infrastruktur telekomunikasi.

“Sebarang tindakan yang menjejaskan kemudahan tersebut adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis tahan lelaki disyaki curi kabel TM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI