KUALA LUMPUR – Malaysia terus meraih keyakinan pelabur global apabila aliran masuk bon melebihi AS$2 bilion (RM7.9 bilion) direkodkan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini sekali gus menjadi yang tertinggi dalam tempoh 10 bulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu berlaku meskipun pasaran global berdepan ketidaktentuan geopolitik susulan konflik berterusan di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga tenaga serta aliran modal dunia.
“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dana global membeli lebih AS$2 bilion bon Malaysia, iaitu aliran masuk tertinggi dalam tempoh sepuluh bulan,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Anwar turut memaklumkan, ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut mencerminkan keyakinan berterusan terhadap asas ekonomi negara.
Tambah beliau, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun lalu didorong oleh aliran masuk pelaburan kukuh khususnya dalam sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.
“Semua ini tidak datang tanpa usaha. Kita komited secara berterusan terhadap pembaharuan dasar serta penglibatan aktif dengan syarikat dan pengurus dana, yang mempunyai banyak pilihan dalam menentukan destinasi pelaburan dan pembuatan mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, pelabur turut mengambil kira konsistensi kerajaan dalam menunaikan komitmen selain ketahanan ekonomi negara walaupun berdepan cabaran luaran.
“Mereka melihat sebuah kerajaan yang menepati janji dan ekonomi yang kekal bertahan walaupun keadaan global semakin mencabar,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, keupayaan industri tempatan menghasilkan komponen bernilai tinggi untuk rantaian bekalan global terus menjadi faktor utama tarikan pelabur ke Malaysia.
Kerajaan, katanya, memberi jaminan untuk memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif termasuk perlindungan harta intelek yang kukuh, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik serta pelaksanaan undang-undang secara konsisten.
“Harta intelek akan dilindungi dengan pantas dan boleh dipercayai. Kawalan perdagangan strategik akan dikuatkuasakan. Kontrak akan dipatuhi dan undang-undang terpakai kepada semua tanpa pengecualian,” ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan kekal terbuka menerima maklum balas pemain industri dan akan segera bertindak terhadap sebarang isu yang menjejaskan kecekapan atau penguatkuasaan.
“Jika ada perkara yang tidak berfungsi atau proses menimbulkan kesukaran yang tidak sepatutnya, maklumkan terus kepada kami. Kami akan bertindak,” katanya. – MalaysiaGazette


