Akta GSA 1960: Perak tidak serah tanah kepada Persekutuan

IPOH – Secara dasar Kerajaan Perak tidak menyerahkan tanah kepada Persekutuan menerusi pelaksanaan undang-undang bagi pengurusan kawasan penempatan berkelompok di luar bandar iaitu Akta Penempatan Berkelompok 1960 atau Akta GSA 1960.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata,sebaliknya pelupusan tanah dilaksanakan kepada peserta yang terlibat dan kerajaan negeri masih menerima hasil melalui Cukai Tanah Berulang.

Katanya, pelaksanaan akta itu merupakan kerjasama strategik antara kerajaan negeri yang menyediakan tanah dengan Persekutuan melalui agensi seperti FELCRA dan FELDA dalam penyediaan peruntukan pembangunan.

“Tujuan utama pembangunan di bawah akta ini adalah untuk menyediakan kediaman serta menjamin sumber pendapatan yang stabil kepada peserta melalui aktiviti pertanian secara berkelompok.

“Melalui sistem pengurusan ladang secara berpusat, peserta dapat menikmati pulangan dividen serta manfaat ekonomi yang berterusan tanpa mengetepikan hak pemilikan tanah.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan pembangunan lebih sistematik, malah berupaya memaksimumkan skala ekonomi serta meminimumkan risiko kegagalan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Razman Zakaria (PN-Gunong Semanggol) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut Saarani berkata, kawasan tanah di bawah GSA di Perak yang diuruskan FELCRA dan FELDA adalah seluas 35,214.18 hektar, dengan pecahan seluas 7,190.65 hektar di bawah FELCRA dan selebihnya di bawah pengurusan FELDA

Beliau berkata, bagi FELCRA, tanah-tanah GSA dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Kawasan GSA Ladang Berpenempatan Peserta dan Kawasan GSA Ladang Tiada Penempatan.

“Bagi Kawasan GSA Ladang Berpenempatan Peserta, terdapat enam penempatan dengan keluasan 4,953.20 hektar iaitu di daerah Manjung, Perak Tengah, Kinta, Muallim dan Batang Padang.

“Kawasan GSA Ladang Tiada Penempatan pula, terdapat empat ladang dengan keluasan keseluruhan 2,237.45 hektar iaitu di Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung dan Perak Tengah,” ujarnya.

Sementara itu Saarani memaklumkan, tanah rancangan di bawah pengurusan FELDA pula membabitkan kawasan di empat daerah yang memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada seramai 5,918 orang peneroka.

“Daerah Batang Padang mempunyai enam kawasan Rancangan FELDA dengan keluasan 11,226.04 hektar, dan lima kawasan di Kuala Kangsar dengan keluasan 8,072 hektar.

“Selain itu terdapat empat kawasan dengan keluasan 6,133.04 hektar di Muallim serta Hulu Perak mempunyai dua kawasan Rancangan FELDA dengan keluasan 2,592.45 hektar,” jelasnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Peneroka terima keuntungan hasil pengambilalihan FGV oleh Felda

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI