Pertambahan peruntukan Biasiswa Menteri Besar Perak perlu dikaji

KUALA KANGSAR – Kerajaan Negeri Perak melihat terdapat keperluan untuk menambah peruntukan Biasiswa Menteri Besar Perak dalam belanjawan negeri akan datang memandangkan berlakunya penambahan calon-calon peperiksaan awam setiap tahun.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ini kerana peruntukan yang disediakan kerajaan negeri dalam Belanjawan Perak 2024 berjumlah RM1 juta dilihat tidak mencukupi bagi memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang.

Beliau berkata, kualiti calon-calon peperiksaan awam juga turut bertambah selain menunjukkan peningkatan yang sangat baik setiap tahun bagi negeri Perak.

“Kalau tanya saya atas kapasiti sebagai Exco memang peruntukan yang diberikan sepatutnya ada penambahan kerana bilangan calon kita untuk peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) semakin bertambah.

“Kerana itu ia perlu dikaji semula untuk bajet tahun-tahun akan datang dan sudah pasti saya yakin Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan melihat keperluan ini untuk membuat penambahan berkaitan peruntukan biasiswa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Apresiasi STPM, STAM Tahun 2022 Dan Penyampaian Biasiswa Menteri Besar Tahun 2023 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perak di Auditorium Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di sini pada Isnin.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri Perak melihat terdapat keperluan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menawarkan biasiswa kepada anak Perak yang cemerlang dalam pelajaran, Khairudin berkata, komitmen yang diberikan syarikat milik kerajaan negeri itu cukup tinggi dalam bidang pendidikan.

Ujar beliau, sumbangan yang diberikan oleh GLC milik Kerajaan Negeri Perak setiap tahun amat tinggi dalam bentuk kewangan terutamanya bagi pelaksanaan program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).

“GLC telah memberi komitmen yang cukup tinggi terutamanya dalam pelaksaan TCS dan baru-baru ini kita telah menerima RM3.4 juta daripada lima GLC Perak dalam memastikan kemenjadian anak-anak murid di Perak.

“Komitmen mereka ini cukup tinggi untuk menjadikan agenda pendidikan sebagai salah sebuah tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi setiap GLC dalam Perak,” katanya.

Sementara itu, Khairudin berkata, seramai 108 orang kategori penerima anugerah STPM dan 10 orang penerima anugerah STAM diraikan pada majlis berkenaan.

Jelas beliau, Yayasan Perak telah mengenal pasti lima calon STPM 2023 sebagai penerima awal Biasiswa Menteri Besar Perak yang telah memperolehi keputusan cemerlang dalam semester kedua dari kalangan keluarga kumpulan B40.

“Selain itu, tiga lagi pelajar cemerlang STAM yang telah menerima Biasiswa Menteri Besar Perak adalah juga di antara 10 orang penerima Anugerah Apresiasi bagi kategori STAM tahun 2022.

“Lebih membanggakan apabila seramai 46 daripada 108 murid STPM yang menerima Anugerah Apresiasi Tahun 2022, juga merupakan penerima biasiswa ini.

“Prestasi murid-murid ini menunjukkan bahawa pemberian biasiswa ini sedikit sebanyak dapat membantu murid di kalangan B40 ini cemerlang dalam akademik seterusnya berpeluang menggapai masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Untuk rekod Biasiswa Menteri Besar Perak telah diperkenalkan sejak 2019 dan telah memberi manfaat kepada 5,996 murid sekolah rendah dan menengah yang menerima bantuan dalam bentuk biasiswa secara “one off” dengan jumlah keseluruhan RM6.31 juta. -MG Perak.

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI