PUTRAJAYA – Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini, yang melangkaui unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) antara empat hingga lima peratus, membuktikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KDNK pada suku pertama tahun ini tumbuh pada kadar 5.4 peratus dan mencecah enam peratus pada suku kedua, menjadikan pertumbuhan ekonomi keseluruhan berkembang sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026.
Menurutnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga turut menaikkan unjuran KDNK Malaysia daripada 4.3 peratus pada Januari 2026 kepada 4.7 peratus pada April 2026.
“Walaupun unjuran negara-negara lain telah menurun, unjuran ini dikekalkan dalam penerbitan terkini pada Julai lepas, dan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global, asas ekonomi negara kekal berdaya tahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di sini hari ini.
Amir Hamzah berkata, nilai ringgit pula kekal stabil sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini walaupun berdepan keadaan global yang tidak menentu. – BERNAMA


