PRK Ayer Kuning: Persaingan antara parti utama bakal sengit

UMUM mengetahui Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bakal diadakan pada April depan berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.

Rentetan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 26 April dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April depan.

Ramai pihak berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kemenangan ekoran ia merupakan kubu kuat parti berkenaan selama enam penggal selain hubungan dengan akar umbinya dikatakan kukuh.

Justeru itu, ramai beranggapan bahawa PRK yang bakal menyaksikan persaingan utama antara BN serta Perikatan Nasional (PN) dengan kemungkinan disertai beberapa parti dan calon bebas itu tidak terlalu sengit.

Dewan orang ramai Ayer Kuning. Foto ABDULLAH YUSOF.

Malah ada desas-desus mengatakan bahawa BN bakal memperoleh kemenangan mudah dibantu sokongan pengundi Pakatan Harapan selepas parti itu menjadi komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan pada 11 Mac lalu mengatakan bahawa pihaknya yakin BN mampu mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti lebih besar berdasarkan trek rekod parti dan hubungan baik dengan pengundi.

Bagaimanapun Penganalisis politik dan Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berpandangan, PRK DUN Ayer Kuning bakal menyaksikan persaingan sengit antara parti penyandang kerusi berkenaan dengan pesaing lain.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak beliau berkata, ia ekoran terdapat beberapa isu nasional yang memperlihatkan rasa tidak puas hati rakyat terutamanya soal taraf hidup.

Prof Madya Dr Salawati Mat Basir

“Saya melihat PRK DUN Ayer Kuning akan ada saingan kerana yang menang sudah tentu mahu mempertahankan apa yang dia ada, tetapi yang sedang menyaingi itu juga ada benda yang dia mahu buat.

“Pada saya kita akan nampak saingan sengit sebab keadaan sekarang banyak buatkan rakyat tidak puas hati, jadi kita kena tengok macam mana sebab BN berada dalam kerangka MADANI,” katanya ketika dihubungi.

Salawati berkata, PRK DUN Ayer Kuning tidak akan terlepas daripada isu berkaitan taraf hidup selain masalah setempat dihadapi penduduk meskipun ia merupakan kawasan kampung dan BN perlu memikirkan strategi bagi meyakinkan pengundi-pengundi di sana.

“Seperti biasa isu penduduk setempat sebab itu kawasan kampung dan sudah tentu yang akan dibangkitkan adalah masalah sara hidup kemudian bantuan-bantuan dari kerajaan terutama situ kawasan pekebun, pertanian.

“Itu akan dilihat sebab rakyat merasakan keperitan yang amat sangat dan ini tidak terlepas di DUN Ayer Kuning yang akan dipertikaikan oleh mereka yang bakal membawa isu ini,” katanya.

Salawati turut mengingatkan BN agar tidak berasa terlalu selesa meskipun ada pemimpinnya menyatakan pandangan bahawa parti itu akan menang besar di kubu kuat BN tersebut.

Penduduk setempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Cita rasa atau pandangan rakyat berbeza-beza. Di Malaysia ini mana-mana parti tidak boleh rasa macam kita mampu menang sebab banyak isu, banyak yang tidak terluah oleh rakyat.

“Jadi pada saya baik berhati-hati kepada BN dan pastikan betul-betul dapat menjawab persoalan yang ditujah kepada mereka walaupun Parlimen Tapah kubu kuat,” katanya.

Untuk rekod penyandang kerusi DUN Ayer Kuning dari BN telah memberikan khidmat baik sejak diwakili Allahyarham Datuk Azman Mahalan pada tahun 1986 hingga 2004, Datuk Samsudin Abu Hassan (2004 hingga 2022) serta Allahyarham Ishsam Shahruddin (2022 hingga 2025).

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). -MG Perak

Artikel berkaitan:

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI