BATU GAJAH – Pusat Koreksional Batu Gajah melakar sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penganjuran Kursus Asas Sokongan Hayat (BLS) Bertauliah pertama untuk prospek di negara ini.
Pengarah Penjara Perak, Timbalan Komisioner Fayrouz Ahmad Zawawi menerima sijil berkenaan yang disampaikan oleh Pegawai Rasmi MBOR, Siti Hajar Johor di Pusat Koreksional Batu Gajah di sini, pada Rabu.
Fayrouz berkata, program dengan kerjasama Hospital Batu Gajah itu membabitkan 42 prospek terdiri daripada 12 lelaki dan 30 wanita yang terpilih selepas melalui proses temu duga.
Menurutnya, pendedahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meliputi pembelajaran dan kemahiran termasuk latihan amali, praktikal serta ujian yang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan.
Beliau berkata, sijil yang diterima prospek akan memberi manfaat kepada mereka untuk mencari pekerjaan di luar selepas dibebaskan.
“Sijil ini diberikan oleh MBOR kerana adalah kali pertama program seumpamanya melibatkan prospek di Jabatan Penjara, khususnya di Pusat Koreksional Batu Gajah.
“Kursus ini dikendalikan doktor pakar dan dengan pengetahuan, pengalaman serta kemahiran yang diperoleh, sekurang-kurangnya prospek terlibat dapat membantu menyelamatkan prospek yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus BLS dan Defibrilator Luaran Automatik (AED) Bertauliah, di Pusat Koreksional Batu Gajah di sini.
Sehubungan itu, Fayrouz berharap program itu dapat diperluaskan pada masa akan datang dengan melibatkan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia.
Hadir sama, Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, Penolong Komisioner Penjara S Tanabal dan Pengarah Hospital Batu Gajah, Dr J Jayakumaran.
Sementara itu, Jayakumaran berkata, prospek yang menyertai kursus tersebut memberi kerjasama baik dan mereka lulus sepenuhnya dalam ujian bertulis serta ujian praktikal.
“Kursus ini bukan kursus biasa, tetapi ia adalah kursus bertauliah yang melibatkan ujian bertulis dan ujian praktikal.
“Pakar kecemasan kami telah mengetuai kursus ini dan kesemua 42 orang prospek telah lulus sepenuhnya dalam ujian tersebut, maka, mereka kini sah sebagai pengamal BLS,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


