RAIN 2026 perkasa generasi muda sebagai ‘duta’ hutan hujan antarabangsa

GERIK – Program Rainforest Ambassador International Network (RAIN) 2026 merupakan inisiatif pendidikan belia berteraskan pemuliharaan alam sekitar, kelestarian dan pembentukan pemimpin muda melalui pengalaman langsung dalam ekosistem hutan hujan tropika.

Berlangsung dari 23 Ogos hingga 4 September, program ini diadakan di tiga lokasi utama iaitu, Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (TRCRC) Elmina, Selangor; Pulau Banding dan landskap hutan hujan Belum-Temengor; serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar.

Inisiatif anjuran Pulau Banding Foundation (PBF) bersama UMK Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe) itu turut mendapat kerjasama pelbagai institusi pendidikan, organisasi belia, komuniti dan sektor swasta serta disokong Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM).

RAIN 2026 menghimpunkan peserta serta perwakilan belia dari lapan negara iaitu Bangladesh, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Sri Lanka, Yemen, Nigeria termasuk Malaysia daripada latar belakang dan budaya berbeza.

Pengurus PBF, Zulfadhlan Ahmad Khushairi berkata, RAIN dibangunkan dengan aspirasi untuk membentuk generasi muda yang bukan sahaja memahami kepentingan hutan hujan, tetapi mampu menjadi penggerak pemuliharaan di komuniti dan negara masing-masing.

Menurutnya, penglibatan antarabangsa memperluaskan skop RAIN sebagai platform pembinaan jaringan belia yang berkongsi aspirasi terhadap pemuliharaan biodiversiti, pembangunan mampan serta perlindungan warisan semula jadi dan budaya.

“RAIN bukan sekadar membawa golongan muda masuk ke hutan untuk melihat biodiversiti, tetapi turut memberi mereka peluang untuk memahami, mengalami dan menghargai alam secara lebih dekat.

“Sepanjang program, peserta mengikuti pembelajaran berasaskan pengalaman dengan berinteraksi bersama penyelidik, pakar biodiversiti, komuniti Orang Asli, institusi pendidikan dan pihak berkepentingan, selain memperoleh pendedahan terhadap realiti pengurusan serta pemuliharaan hutan hujan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

RAIN 2026 perkasa generasi muda sebagai 'duta' hutan hujan antarabangsa
Eksplorasi sarang lebah kelulut adalah antara pengisian RAIN 2026 yang diadakan dari 23 Ogos hingga 4 September. Foto Pulau Banding Foundation

Beliau berkata, program yang berteraskan lima komponen utama iaitu Alam Sekitar, Kelestarian, Warisan, Pemuliharaan serta Sains dan Teknologi itu turut memberi penekanan kepada aspek praktikal dalam dokumentasi biodiversiti, pemantauan alam sekitar, pemuliharaan habitat, pengetahuan tradisional serta aplikasi teknologi dalam kerja konservasi.

“Kami mahu setiap peserta pulang sebagai Rainforest Ambassador yang membawa bersama ilmu, pengalaman dan rasa tanggungjawab untuk melindungi hutan hujan serta biodiversiti, bukan sahaja di Malaysia, malah di negara masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulfadhlan berkata, antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuk eksplorasi biodiversiti di Royal Belum dan Pulau Banding, perangkap cahaya serangga serta eksplorasi reptilia dan amfibia bagi memberi pengalaman mengenal pasti, merekod dan mendokumentasikan kepelbagaian spesies hidupan liar.

Katanya, dimensi sosial dan budaya turut menjadi sebahagian daripada pengisian melalui lawatan serta aktiviti khidmat masyarakat bersama komuniti Orang Asli di Royal Belum dan Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Banun termasuk bengkel pembuatan tempok dan persembahan tarian Sewang.

Sementara itu, Pengarah UMK-TRaCe, Dr Muhammad Firdaus Abdul Karim berkata, pendekatan pembelajaran secara langsung di lapangan memberikan pengalaman yang tidak dapat diperoleh sepenuhnya melalui pembelajaran konvensional.

“Sains pemuliharaan tidak seharusnya hanya dipelajari melalui buku atau di dalam bilik kuliah semata-mata.

“Melalui RAIN, peserta dapat meneroka sendiri ekosistem hutan hujan, mempelajari kaedah dokumentasi biodiversiti dan pemantauan spesies, serta memahami hubungan antara sains, komuniti dan pemuliharaan.

“Jaringan antarabangsa yang terbentuk juga membuka ruang kepada kerjasama jangka panjang dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan konservasi,” jelasnya.

Program yang melabuhkan tirai di UiTM Seri Iskandar itu dijangka menjadi asas kepada pembangunan jaringan Rainforest Ambassadors secara berterusan, dengan peserta membawa ilmu dan pengalaman yang diperoleh ke sekolah, universiti, komuniti serta negara masing-masing sebagai pemangkin kesedaran dan tindakan terhadap alam sekitar. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mahasiswa cipta rekod MBOR nilai lebih 1,000 pokok di Royal Belum

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI