Rasai suasana santai dalam ladang di Agrotech Profarm

PEMANDANGAN indah bukit bukau menghijau serta tanaman seperti jambu batu merah (pink guava) dari Taiwan dan anggur Kyoho dari Jepun umpama berada di ladang luar negara menjadikan Agrotech Profarm (Agrotech) yang terletak di Gopeng menjadi destinasi pelancongan yang menarik di Perak.

Selain suasana yang menenangkan, pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan kepada pengunjung yang berminat untuk merasai sendiri pengalaman berada di ladang.

Rasai suasana santai dalam ladang di Agrotech Profarm
Agrotech Profarm yang terletak di Gopeng menjadi destinasi pelancongan yang menarik di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2025.

Boleh petik anggur Kyoho, pink guava

Penyelianya, Nurul Aida Syazana Abdul Wahab berkata, Agrotech yang berkeluasan 18.21 hektar ini mula beroperasi pada 15 Januari 2017.

Menurutnya, pelbagai tarikan terdapat di ladang tersebut antaranya zoo mini, penternakan ayam kampung, penanaman buah-buahan serta sayur-sayuran dan pakej penginapan untuk pengunjung yang ingin bermalam di kawasan tersebut.

“Keistimewaan yang terdapat di Agrotech Profarm ini adalah zoo mini yang menempatkan sekitar 20 jenis haiwan antaranya kambing, burung, burung merak malah kita juga mempunyai sepasang unta daripada Australia dan cicak beard dragon.

Rasai suasana santai dalam ladang di Agrotech Profarm
Penyelia Agrotech Profarm Gopeng, Nurul Aida Syazana Abdul Wahab menunjukkan antara haiwan yang terdapat di Agrotech yang menjadi destinasi pelancongan yang menarik di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2025.

“Orang ramai boleh mendekati haiwan tersebut dengan memberi makanan dan ia boleh dibeli di sini dengan harga berpatutan.

“Kita juga turut menanam anggur Kyoho yang berasal dari Jepun dan pink guava iaitu sejenis buah jambu batu popular dari Taiwan. Selain itu, terdapat juga pokok durian pelbagai jenis yang ditanam di sini antaranya Musang King, IOI dan Blackthorn.

“Pengunjung berpeluang untuk melakukan aktiviti memetik anggur dan pink guava tetapi mereka perlu membuat tempahan terlebih dahulu kerana ia bergantung kepada jumlah buah yang ada pada ketika itu,” katanya ketika ditemui MG Perak baru-baru ini.

Rasai suasana santai dalam ladang di Agrotech Profarm
Penyelia Agrotech Profarm Gopeng, Nurul Aida Syazana Abdul Wahab menunjukkan buah anggur Kyoho dari Jepun yang menjadi destinasi pelancongan yang menarik di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2025.

Kolam ikan untuk kaki pancing

Ujarnya, terdapat kolam ikan yang menempatkan ikan patin untuk mereka yang minat untuk menjalankan aktiviti memancing namun ikan yang ditangkap tidak boleh dibawa pulang sebaliknya dilepaskan semula ke dalam kolam tersebut.

“Bagi kaki pancing, mereka boleh membawa joran sendiri dan bayaran yang dikenakan hanya RM20 untuk satu jam. Bagaimanapun, jika mereka tidak membawa joran, kita ada menyediakan peralatan tersebut bersama umpan dan harga yang dikenakan hanya RM40.

“Ikan yang ditangkap tidak boleh dibawa pulang kerana aktiviti ini untuk memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman memancing di kolam yang disediakan,” jelasnya.

Cabar aktiviti lasak menaiki ATV, go-kart

Dalam perkembangan sama, Nurul Aida berkata, jika pengunjung ingin melakukan aktiviti yang lebih lasak dan mencabar, pihaknya turut menyediakan go-kart, kenderaan serba rupa bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle (ATV) dan kereta buggy.

“Untuk pengunjung yang cenderung untuk melakukan aktiviti lasak, mereka boleh menyewa go-kart dan ATV. Kita akan membawa mereka ke litar disediakan.

Rasai suasana santai dalam ladang di Agrotech Profarm
Agrotech Profarm yang terletak di Gopeng menjadi destinasi pelancongan yang menarik di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2025.

“Jika pengunjung ingin mengelilingi seluruh ladang ini, mereka boleh menyewa kereta buggy yang mampu menempatkan sembilan orang penumpang pada satu-satu masa.

“Harga yang ditawarkan bagi go-kart dan ATV adalah RM60 untuk setengah jam dan RM100 untuk tempoh satu jam manakala bagi kereta buggy harganya cuma RM80 untuk perjalanan antara setengah sehingga sejam,” ujarnya.

Sayur segar dari ladang

Beliau berkata, terdapat sayur-sayuran antaranya bayam, sawi dan kangkung yang ditanam di ladang berkenaan.

Tambahnya, sayur-sayuran, ayam serta ikan yang ditanam serta dibela di sini digunakan untuk masakan di restoran mereka.

Rasai suasana santai dalam ladang di Agrotech Profarm
Tanaman sayur sawi di Agrotech Profarm, Gopeng yang menjadi destinasi pelancongan yang menarik di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2025.

“Pada masa sama, sayur-sayuran di sini juga dijual kepada restoran malah kita turut menyediakan beberapa produk makanan dan minuman menggunakan hasil tanaman di ladang ini,” katanya.

Rasai suasana santai dalam ladang di Agrotech Profarm
Antara minuman yang terdapat di Agrotech Profarm, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2025.

Bermalam di puncak ladang

Nurul Aida berkata, untuk pengunjung yang datang jauh dan ingin bermalam di ladang tersebut, pihaknya ada menyediakan pakej penginapan yang terletak di puncak bukit.

“Buat masa ini hanya lima bilik disediakan. Setiap bilik boleh menempatkan enam orang dan untuk keseluruhan bilik maksimum 30 orang boleh tinggal di sini pada satu masa.

“Mereka boleh mengadakan bbq di sini selain itu, boleh menggunakan bilik karaoke yang berada di kawasan tersebut,“ katanya.

Rasai suasana santai dalam ladang di Agrotech Profarm
Tanaman jambu batu merah (pink guava) dari Taiwan di Agrotech Profarm, Gopeng yang menjadi destinasi pelancongan yang menarik di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2025.

Taman tema air bakal operasi 2026

Sementara itu, beliau menjelaskan kerja-kerja menaik taraf sedang giat dijalankan dan semuanya dijangka akan beroperasi sekitar 2026.

“Pelbagai pembangunan sedang dilakukan antaranya termasuklah pembinaan chalet, kolam renang dan taman tema air.

“Kita juga akan menyediakan tarikan terbaharu iaitu belon udara panas seperti di Cappadocia, Turkey dan flying fox,“ jelasnya.

Agrotech Profarm Gopeng dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 9 pagi hingga 5 petang (cuti am dan cuti sekolah dibuka setiap hari).

Harga tiket adalah RM5 seorang. Bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) kemasukan adalah percuma. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Menara Jam Peringatan Birch, masih utuh selepas 116 tahun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI