RM11 juta untuk 86 projek di Kuala Kangsar, Sungai Siput

SUNGAI SIPUT – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM11 juta untuk 86 projek di daerah Kuala Kangsar dan Sungai Siput di bawah inisiatif ‘Sentuhan Kasih KPKT’.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak RM840,219 diperuntukkan bagi 58 projek baik pulih rumah di kampung tradisi dan RM3.26 juta bagi 23 projek pembangunan kampung baru.

“Di samping itu KPKT memperuntukkan sebanyak RM3.92 juta untuk 16 projek pembangunan yang akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) serta RM1.65 juta untuk tujuh projek penyelenggaraan kolam tadahan.

“Pada masa sama, bersempena dengan perayaan Deepavali, KPKT juga menyalurkan RM1 juta untuk penyelenggaraan lampu-lampu diod pemancar cahaya (LED) kepada MPKK.

“Selain itu, kita juga menyalurkan peruntukan Inisiatif Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sebanyak RM237,000 terhadap Kuil Hindu Sri Subramanyar Alaya Devasthana Paribalana Saba Sungai Siput Utara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada lawatan kerja Program Sentuhan Kasih KPKT di Pasar Awam Sungai Buloh, dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Sakduddin Zamli.

Pada masa sama, Kor Ming berkata KPKT bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan MPKK bagi mencari jalan penyelesaian untuk membaik pulih Kolam Renang Kuala Kangsar yang mengalami kerosakan sejak ia ditutup dua tahun lalu.

Beliau juga mengusulkan tiga pilihan yang boleh dilaksanakan MPKK terhadap perkara itu iaitu mengemukakan permohonan kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau melaksanakan kerja-kerja baik pulih melalui usahasama dengan syarikat swasta.

“MPKK boleh mengemukakan permohonan kepada KPKT dan peruntukan yang dipohon itu harus mencukupi untuk meliputi skop kerja yang diperlukan,” ujarnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak kira-kira RM1 juta diperlukan bagi membaik pulih Kolam Renang Kuala Kangsar selepas mengalami kerosakan antaranya membabitkan kerosakan lantai, dan tidak boleh digunakan sejak November 2021.

Kolam renang yang terletak di Bukit Chandan itu dibina pada Oktober 2005 atas cetusan idea Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dengan tujuan mewudjudkan pusat rekreasi sukan renang di Kuala Kangsar. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI