RUU hukuman buang sampah dibentang Mac ini – Kor Ming

TELUK INTAN – Rang Undang-Undang (RUU) hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil akan dibentang pada sesi pertama di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pindaan tersebut akan membolehkan pesalah menjalani hukuman khidmat masyarakat bagi tempoh masa tertentu.

“Semua orang hari ini adalah golongan terpelajar jadi mustahil tidak tahu bahawa sampah perlu masuk dalam tong sampah.

“Oleh itu, bila dah kena (dijatuhkan hukuman) jangan salahkan kerajaan pula dan saya akan bawa perkara ini pada sesi pertama Dewan bulan Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Jentera Baharu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Bangunan Pejabat MPTI, Jalan Speedy di sini, pada Isnin.

Turut hadir Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woh Kah Leong.

Tambah Kor Ming, hukuman setimpal seperti tempoh khidmat masyarakat yang lebih panjang akan dipinda dalam RUU tersebut.

Menurut beliau, ia ekoran hukuman kompaun dikenakan kepada mereka yang bersalah dilihat tidak lagi relevan memandangkan golongan berkenaan berkemampuan untuk membayar denda.

“Jika kita naikkan kompaun RM300 atau RM500 tiada gunanya kerana mereka boleh bayar tetapi bila kita minta pesalah sapu jalan lima jam dia tidak akan buang sampah lagi.

“Namun semuanya kita serahkan kepada mahkamah kerana bukan kita yang tentukan, kita cuma peruntukkan undang-undang untuk membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal,” katanya.

Kor Ming pada November tahun lalu memaklumkan pihaknya sudah mengemukakan memorandum berhubung perkara itu dan akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat, Mac 2025.

Menurutnya, cadangan pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil yang akan dikuatkuasakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171].

Katanya, objektif pelaksanaan hukuman ini bagi memberi keinsafan dan kesedaran kepada pesalah yang mana mereka dikehendaki memakai jaket khas dan dikenakan hukuman mengikut tempoh jam agregat ditetapkan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

CCTV AI kurangkan 90 peratus aktiviti sampah haram

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI