PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim di Parlimen menjelang suku pertama tahun depan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, NRES kini sedang menjalankan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta menghasilkan kertas konsultasi untuk ulasan awam.
“Kami komited terhadap penyelesaian berasaskan alam semula hadi dengan melundungi dan memulihkan hutan; tanah lembap dan ekosistem pesisir yang berfungsi sebagai penampan semulajadi terhadap kesan perubahan iklim.
“Kita mempunyai hutan yang lebih tua daripada hutan Amazon atau Congo, berusia lebih 100 juta tahun, bukan sahaja di semenanjung Malaysia tetapi juga di Sabah dan Sarawak.
“Kita mempunyai 20 peratus daripada semua spesis haiwan yang diketahui.
“Jadi, kepelbagaian biologi dalam dunia merupakan kelebihan kepada negara kita. Untuk Malaysia berkembang maju dan mengekalkan daya tahan iklim, tadbir urus memainkan peranan penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Pelan Hala Tuju Lestari IO1 2030 (ISR 2030) yang disediakan IOI Properties Group Berhad.
Sebelum ini, Nik Nazmi berkata, antara elemen yang terkandung dalam RUU Perubahan Iklim tersebut adalah insentif dan penalti yang terpakai kepada pihak pencemar besar antaranya syarikat atau agensi berbanding individu.
Mengenai ISR 2030, beliau berkata, pelan tersebut menerapkan 12 teras strategik yang memacu inisiatif IOIPG dalam usaha menangani isu-isu berkaitan ekonomi, alam sekitar, social dan tadbir urus.
Dalam masa yang sama ia menumpukan kepada langkah menangani perubahan iklim,
biodiversiti, pengurusan sisa, kewangan lestari, pengurusan rantaian bekalan,
kesejahteraan kakitangan dan juga risiko dan peluang kelestarian.
Mengulas lanjut jelas Nik Nazmi, kerjasama sektor swasta dalam memastikan kelestarian terjaga amat digalakkan kerana dapat menyebarkan kesedaran kepentingan menjaga kelestarian alam. -MalaysiaGazette