TAPAH – Kemenangan Dr Mohamad Yusri Bakir dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada Sabtu disambut baik penduduk setempat.
Pekerja kantin sekolah, Salwah Abd Mohdmed, 57, berkata, ini kerana Mohamad Yusri yang mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri sememangnya individu yang cukup dikenali di sekitar kawasan DUN berkenaan.
Katanya, pengaruh Ustaz Yusri yang pernah berkhidmat sebagai guru sekolah rendah dan dan arwah bapanya yang pernah menjadi Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) antara faktor utama pengundi meletakkan harapan untuk beliau di Ayer Kuning.
“Sebaik sahaja keputusan rasmi keluar yang mengumumkan Ustaz Yusri menang semalam, saya menitiskan air mata.
“Saya menganggap Ustaz Yusri sama seperti keluarga, sebab saya juga berdarah Jawa. Dan memang saya bersyukur dengan kemenangan beliau,” katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.
Sementara itu, peniaga, Nurul Asenida Tomiran, 35, turut berkongsi kegembiraan sama selepas Ustaz Yusri sah diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning yang baharu.
Katanya, seawal hari pengundian dia sudah menanamkan keyakinan bahawa kemenangan PRK DUN berkenaan akan memihak kepada calon BN itu.
Menzahirkan harapan Nurul Asenida berkata, dia berharap agar Ustaz Yusri dapat meneruskan segala gerak kerja bekas penyandang DUN, Allahyarham Ishsam Shahruddin mengikut acuannya sendiri.
“Saya harap apa yang dijanjikan oleh beliau dapat dilaksanakan di samping dapat memperbaiki apa sahaja yang kurang di sini.
“Namun saya yakin, Ustaz Yusri mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang terbaik serta memelihara keharmonian penduduk di Ayer Kuning,” ujarnya.
Pada masa sama, Ketua Kampung Baru Air Kuning, Ye Ong, 68, memberitahu masyarakat Cina turut meraikan kemenangan Ustaz Yusri di Ayer Kuning.
Dia yang mengenali Ustaz Yusri secara peribadi berkata, keramahan dan kemesraan Ustaz Yusri menjadi antara daya penarik kepada pengundi-pengundi Cina.
“Beliau seorang yang bersopan-santun apabila berinteraksi dengan masyarakat setempat, termasuk kepada Orang Cina.
“Malah kami suka dengan cara beliau yang boleh bertegur sapa dengan menggunakan beberapa perkataan ringkas dalam Bahasa Cina
“Selepas ini kami berharap agar beliau dapat terus mempertingkatkan aktiviti turun padang dan mendekati masyarakat di Ayer Kuning agar segala permasalahan kami dapat didengar dan seterusnya diberi perhatian,” katanya lagi.
Pada Sabtu, Ustaz Yusri memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang meraih 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS (1,106 undi).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam, 58, pada 22 Februari lepas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rasmi: Ustaz Yusri berjaya kekalkan BN di Ayer Kuning