‘Saya tidak ingkar janji’ – Saarani

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan mana-mana rakyat walaupun mereka berada di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang.

Ujar Saarani, peruntukan sebanyak RM300,000 setahun bagi 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diumumkan sebelum ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa berlaku adil kepada semua pihak.

“Kerajaan Negeri Perak tidak pernah berniat untuk menganiaya sesiapa. Kerana semangat kepada pemberian peruntukan tersebut adalah bersandarkan hasrat untuk kita sama-sama menumpahkan manfaat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya mendengar dengan teliti apa yang diucapkan baik daripada rakan-rakan di barisan kerajaan, mahupun pembangkang.

“Sebagai ‘bapa’ kepada semua Yang Berhormat, saya faham masalah yang dihadapi. Oleh kerana itu saya bersetuju untuk peruntukan RM300,000 itu kekal.

“Cuma ia dipinda supaya RM200,000 diperuntukkan untuk projek, manakala masing-masing RM50,000 diperuntukkan untuk pemberian terus atau ‘outright grant’ (OG), serta bekalan dan program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu. Saarani menegaskan bahawa kerajaan negeri juga tidak pernah memungkiri janji dalam soal penyaluran peruntukan kepada mana-mana ADUN termasuk pembangkang.

“Saya sudah luluskan sebulan bonus untuk semua ADUN. Saya tidak ingkar janji, sebaliknya saya tunai janji apabila saya mengumumkan peruntukan kepada semua kawasan DUN.

“Cuma ia berbeza sedikit apabila ADUN kerajaan memohon melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan UPEN akan proses, sementara ADUN pembangkang perlu memohon melalui menteri besar, dan saya akan proses.

“Saya tunai janji saya,dan apabila ada yang kaat saya tidak tunai janji, saya sedih juga,” katanya.

Pada persidangan DUN kelmarin, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN-Chenderoh) mendakwa menteri besar tidak menggambarkan janji budiman kerana menghentikan pemberian peruntukan kepada OG ADUN pembangkang.

Melalui pembentangan Bajet 2023 yang lalu, Saarani mengumumkan pemberian RM300,000 setahun kepada semua 59 ADUN, termasuk pembangkang dan Speaker DUN Perak.

Peruntukan RM7,000 sebulan juga diberikan kepada semua Pusat Khidmat ADUN di negeri ini dengan nilai keseluruhan hampir RM5 juta. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Blok pembangkang sambut baik pemberian BKK kepada ADUN Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI