Blok pembangkang sambut baik pemberian BKK kepada ADUN Perak

IPOH  – Blok pembangkang Perak menyambut baik pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar sebulan gaji kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menyifatkan pemberian BKK ini adalah satu pengiktirafan kepada tanggungjawab dan peranan yang diamanahkan kepada ADUN kerajaan mahupun pembangkang kepada rakyat.

“Kami (pembangkang) berasa amat gembira dengan pengumuman tersebut yang merupakan satu pengiktirafan kepada kami sebagai wakil rakyat dan tidak mengambil pendekatan membezakan antara ADUN kerajaan dan ADUN pembangkang.

“Ini adalah contoh tindakan seorang Menteri Besar yang begitu prihatin kepada pemimpin-pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang di Perak.

“Semoga apa yang dirancang dapat diraikan bersama kerana kami sebagai pembahas telah menyatakan hasrat supaya kami tidak disisihkan dalam apa juga agenda pembangunan negeri termasuk lawatan Menteri Besar atau Exco untuk dilibatkan bersama ADUN pembangkang,” kata ADUN Sungai Manik itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bilik Media Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan pemberian BKK pada kadar sebulan gaji kepada semua ADUN termasuk pembangkang.

Pemberian BKK itu diberikan kepada 48 daripada keseluruhan 59 ADUN serta seorang Speaker DUN.

Selain itu, kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan peruntukan pengurusan Pusat Khidmat ADUN RM7,000 sebulan kepada 59 Pusat Khidmat.

Pengumuman itu dibuat Saarani ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024 pada Persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak umum bonus sebulan gaji kepada semua ADUN termasuk pembangkang

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI