IPOH – Polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam sindiket mencuri kenderaan yang menyasarkan kenderaan pacuan empat roda pada awal pagi Rabu.
Bagaikan potongan babak dalam filem aksi, kesemua suspek yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier itu tumpas selepas dikejar pihak polis melibatkan laluan sejauh lebih 20 kilometer (KM) sekitar jam 4 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian itu juga telah memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan dalam operasi terbabit bagi tujuan memberhentikan kenderaan yang dinaiki suspek.
Katanya, sebelum itu seorang pegawai dan dua anggota polis dari Balai Polis Kampung Rapat sedang melakukan rondaan Ops Lejang sebelum mengesan sebuah kereta disyaki hendak melakukan kecurian kenderaan di Jalan Medan Soon Choon 1, dekat sini.
Ujar beliau, pihak polis cuba menghampiri ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 34, 37, dan 47 yang berada dalam Toyota Harrier, namun mereka melarikan diri walaupun telah diberi amaran.
“Pihak polis mengejar tiga suspek sehingga mereka memasuki Lebuhraya Utara Selatan melalui susur masuk Plaza Tol Simpang Pulai sebelum melanggar palang dan keluar di Plaza Tol Gopeng.
“Ketiga-tiga suspek memecut laju dan memandu secara berbahaya menghala ke Batu Gajah. Polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar hadapan dan bahagian kanan kereta mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Bual Bicara Santai Ketua Polis Perak Bersama Pengamal Media Perak di Hotel Excelsior, dekat sini, pada Rabu.
Tambah Azizi, kereta suspek itu kemudiannya dikesan memandu secara melawan arus di persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Pisang dan Jalan Bemban, serta bertindak agresif menghimpit kereta dinaiki anggota polis.
Kata beliau, bagi melindungi diri, polis melepaskan dua lagi das tembakan ke arah kenderaan suspek dan mengakibatkan SUV tersebut terbabas akibat tayar pecah berhampiran persimpangan Jejambat Siputeh.
“Berlaku pergelutan antara polis dan suspek ketika tangkapan dilakukan. Bagaimanapun dengan bantuan rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, tangkapan dan rampasan ke atas suspek berjaya dilakukan.
“Kejadian juga tidak melibatkan sebarang kecederaan ke atas anggota polis mahupun orang awam,” jelasnya.
Menurut Azizi, hasil pemeriksaan pihak polis mendapati terdapat beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan, di samping SUV yang digunakan dipercayai kereta yang dicuri di Puchong, Selangor.
Kata beliau, hasil siasatan awal terhadap ketiga-tiga suspek juga mendapati terdapat 40 kesalahan lampau termasuk kesalahan jenayah melibatkan di beberapa negeri lain.
“Suspek telah direman selama empat hari bagi siasatan lanjut kes termasuk cubaan membunuh,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kes rogol hingga hamil: Polis tahan seorang lagi suspek bantu siasatan