Sistem tol aliran pantas pelbagai lorong di lebuh raya guna ANPR, RFID

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi sistem kutipan tol di lebuh raya akan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata dengan pelaksanaan MLFF, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol, sekali gus meningkatkan kelancaran perjalanan di lebuh raya melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisien.

“Saranan ahli Yang Berhormat sebentar tadi, kita telah membuat kajian (melibatkan) banyak negara dan kita nak supaya yang terbaik, sebab itu dalam proses kajian.

“…dalam masa sama kita akan cuba pada 2024, penggunaan tersebut secara percubaan kita nak melihat keadaannya lebih sesuai digunakan…kita telah pergi melihat banyak negara menggunakan MLFF ini, penggunaannya sangat baik, jadi insya-Allah kita akan cuba sedaya upaya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sama ada kerajaan bercadang melaksanakan sistem kutipan tol tanpa plaza tol dan palang.

Bagi menjawab soalan asal Afnan Hamimi berhubung hala tuju kerajaan terhadap sistem RFID di semua lebuh raya dan usaha menambah baik sistem kutipan tol untuk kelancaran pengguna lebuh raya, Abdul Rahman berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau prestasi lorong tol yang menggunakan sistem kutipan tol dengan teknologi RFID di semua lebuh raya.

“Selaras dengan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan MLFF sebagai usaha menambah baik kutipan tol, teknologi RFID ini telah diterima sebagai teknologi yang akan digunakan, dalam pelaksanaan MLFF.

“…kami di LLM sentiasa melihat keadaan di lorong tersebut, maknanya kita selalu membuat analisis tentang plaza tol iaitu lorong bagi setiap mod (pembayaran) khususnya Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, sebanyak 416 lorong tol di seluruh lebuh raya di Malaysia menggunakan teknologi RFID.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI