LENGGONG – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong, di Kampung Tersusun Bukit Sapi, di sini, pada Selasa.
Keberangkatan tiba baginda ke majlis perasmian diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Pada majlis, Sultan Nazrin berkenan melafazkan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian, sebelum melawat pameran, disusuli majlis santapan dan melawat bangunan sekolah.
Usaha pembangunan SMTDR Lenggong bermula pada tahun 2009 menerusi pelaksanaan kelas perintis Program Tahfiz di tiga buah Sekolah Menengah Agama Negeri, hasil cetusan idea bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika itu.
Sekolah tersebut adalah Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah dan Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah.
SMTDR Lenggong memulakan operasi pada 3 Januari 2012 di tapak sementara di Sekolah Rendah Agama Rakyat Madrasah As-Syakirin, Kampung Lenggong sebelum berpindah ke tapak tetap di Kampung Tersusun Bukit Sapi pada 3 Ogos 2020.
Sekolah yang beroperasi di atas tanah wakaf berkeluasan 7.85 hektar itu terdiri daripada pelbagai fasiliti yang merangkumi 10 bilik darjah, pejabat, bilik guru, makmal sains, makmal komputer, padang, dewan terbuka, kemudahan asrama, serta fasiliti keselamatan dan sokongan.
Sekolah di bawah bimbingan pengetua, Muhammad Khair Azhar Kamarudin itu kini mempunyai 176 orang pelajar lelaki dengan kekuatan 43 orang tenaga pengajar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak hadir sambutan Aidiladha bersama pemimpin negeri


