IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turu berangkat sama, Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa diikuti alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Johan Qari Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2026 mewakili negeri Perak, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali.
Seterusnya, kira-kira 2,000 hadirin memeriahkan majlis yang diserikan dengan alunan zikir Asmaul Husna dan berselawat beramai-ramai pada sambutan bertemakan ‘Membina Jati Diri Muslim – Memperkukuh Identiti Ummah’.
Baginda kemudiannya berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada Yang Walad, 82.
Ibu tunggal kepada 16 orang anak itu menerima kurniaan wang tunai RM10,000 bersama hadiah iringan tajaan menunaikan ibadah umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil penghargaan.
Sementara itu, Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) diberikan kepada Pengurus Syarikat Aura Fitrah Training and Consultancy, Radhi Kamarul Hailan, 56; manakala Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Media) pula diberikan kepada pengulas sukan dan pelakon veteran, Datuk Abdul Rahim Mohd Razali, 87.
Seterusnya, Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diberikan kepada Pertubuhan Wanita Prihatin Perak.
Bagi Anugerah Pegawai Masjid (Tokoh Imam) diberikan kepada Mohd Hanafiah Idris, 56; manakala Anugerah Anugerah Bilal diterima Yahaya Man, 83; manakala Anugerah Siak diberikan kepada Saharuddin Hasim, 72.
Masing-masing dikurniakan RM5,000, plak dan sijil penghargaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin seru pemimpin Islam kurangkan sengketa, perkasa identiti ummah


