Tahfiz Ar-Rahman Selama mucul juara Debat Bahasa Arab Piala MB Selangor

IPOH – Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman, Selama dekat Taiping muncul juara Kejohanan Debat Bahasa Arab Piala Menteri Besar Selangor Peringkat Kebangsaan, pada Ahad.

Pasukan debat dari pusat tahfiz di Kampung Sungai Malau Dalam itu membawa pulang wang tunai RM600, piala pusingan serta sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan Timbalan Pengarah Kanan Sektor Perancangan Dan Pembangunan Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan (KPM) Omar Salleh pada pertandingan akhir di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.

Mudir Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman, Abdullah Aimanrusydi Abdullah berkata, pencapaian itu membanggakan apabila menjadi satu-satunya institusi pendidikan persendirian yang berentap bersama 19 sekolah lain.

Katanya, kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat itu turut disertai termasuk Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Tun Abdul Razak Pekan serta Sekolah Maahad Pontian.

“Ini bukan kali pertama sebaliknya Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman pernah menjadi juara pada pertandingan Debat Piala Menteri Besar Perak pada tahun 2022 dan 2023.

“Namun ini merupakan penyertaan julung kali kami dalam pertandingan yang melibatkan sekolah-sekolah di luar Perak,” katanya ketika dihubungi, pada Isnin.

Abdullah Aimanrusydi memberitahu, selain beliau, pasukan debat pusat pengajian tahfiz itu turut mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar Nur Faiezah Mohamed.

Kata beliau lagi, pasukan debat dianggotai Mohd Sawfdanish Mohd Asri, 15; ⁠Muhd Danish Azfar Halid Salimi,17; Kamarul Hadif Zikri Kamarulzaman,16 serta Abu Zhar Mohamad,15 yang juga dinobatkan sebagai pendebat terbaik.

“Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman telah menewaskan pasukan daripada Sekolah Maahad Pontian pada peringkat akhir dengan keputusan hakim sebanyak 6-3.

“Penghakiman pada pusingan akhir telah dihakimi oleh sembilan juri profesional yang terdiri daripada alumni debat universiti dan pendebat-pendebat universiti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdullah Aimanrusydi berkata, kejuaraan itu sememangnya tidak disangka apabila menyifatkan sebuah sekolah tahfiz kecil di kampung mampu berdiri sama gah dengan sekolah-sekolah hebat yang lain. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

152 pelajar tahfiz ‘fast track’ USAS cemerlang SPM

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI