IPOH – Pelan Perak Sejahtera 2030 akan ditambah baik agar matlamat untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat dapat dicapai.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara penambahbaikannya termasuk penambahan tiga agenda baharu kepada enam agenda sedia ada.
Beliau berkata, perincian berhubung perkara itu akan diumumkan pada Majlis Pelaburan Tahunan Perak Sejahtera 2030 di Manjung, pada 15 Jun depan.
“Usaha ini dapat dilihat sebagai kad laporan tahunan, kerana Pelan Perak Sejahtera 2030 ini merupakan pelan yang bersifat dinamik.
“Jika ada perkara-perkara yang perlu diubah, kita akan ubah. Mana-mana hal yang mungkin dilihat perlahan (perkembangannya), kita akan cuba mempertingkatkan. Itu tujuannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis merasmikan Sambutan Hari Belia Negara dan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Perak 2024 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah.
Dalam pada itu, Saarani memberitahu, usaha menambah baik pelan pembangunan negeri itu hasil program permukiman kerajaan negeri yang diadakan di Sabah pada Februari lalu.
“Kita sedang mengumpul data dan maklumat berkaitan dengan kemajuan yang telah dicapai dalam tempoh setahun.
“Ini kerana, pada tahun lalu saya telah membentangkan pencapaian setahun Pelan Perak Sejahtera 2030. Dan kali ini, kita hendak membentangkan perkembangan terkini pelan sama dalam tempoh setahun,” katanya.
Pada 15 Jun 2022, Saarani melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai garis panduan bagi pembentukan dasar, inisiatif dan agenda utama negeri bagi tahun 2022 hingga 2030.
Di bawah pelan berkenaan, sebanyak enam agenda digariskan iaitu Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Pembuatan Keputusan Dipacu Data, Perlombongan Lestari, serta Koridor TVET Malaysia.
Terdahulu pada majlis, Saarani menyampaikan anugerah-anugerah APBN kepada 16 penerima dalam kalangan individu dan pertubuhan belia.
Johan kategori individu lelaki APBN dianugerahkan kepada Muhammad Kamal Syukri Kamaruddin sementara Nor Athirah Solehah Azlan dinobatkan johan kategori wanita yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 dan trofi.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Bagan Datuk dinobatkan sebagai johan kategori pertubuhan belia yang membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan Perpaduan Perak utuh, Pelan Perak Sejahtera 2030 positif