IPOH – Seorang pemandu bas patah kaki manakala dua lagi penumpang cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highland awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, bas ekspress berkenaan membawa 23 penumpang warga Singapura.
Menurut beliau, panggilan kejadian yang berlaku berdekatan Dewan MRA, Pos Slim itu diterima pada jam 5.30 pagi pada Sabtu.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dikejarkan ke lokasi dan tiba jam 6.18 pagi.
“Setibanya dilokasi didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas ekspress terbabas di bahu jalan dan pemandu mengalami patah kaki telah dikeluarkan orang awam,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, Ketua Operasi kemudiannya melaksanakan ‘size-up’ dan seterusnya mengaplikasikan Konsep ‘SAVER’ dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan mangsa.
“Mangsa diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi dianggotai sembilan orang anggota itu tamat sepenuhnya pada jam 6.41 pagi,” katanya. -MG Perak