TANJUNG MALIM – Tiga cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 358.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, Bidor dekat sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 7.37 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dibantu BBP Slim River digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut.
“Kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah lori itu telah menyebabkan lori berkenaan terjatuh ke dalam gaung sedalam lapan meter.
“Terdapat seorang mangsa lelaki di dalam lori berumur 40 tahun mengalami kecederaan di kaki kerana tersepit di bahagian pemandu dan mangsa wanita berumur 39 tahun telah patah tangan dan kaki.
“Seorang mangsa lelaki berusia 27 tahun yang berada di dalam bas ekspres tersebut hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bomba melaksanakan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum melakukan kerja-kerja penyelamatan.
“Mangsa dari dalam lori telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” jelasnya.
Katanya, mangsa yang menaiki bas diberikan rawatan awal oleh KKM sebelum dibawa ke hospital menggunakan jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk mendapat rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 9 pagi,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua cedera dalam kemalangan jalan raya lori muatan sayur terbakar


