LENGGONG – Tiga pekerja maut selepas terperangkap ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di dalam lubang pembentung di sebuah resort yang sedang dibina di Kampung Ibol, Sumpitan di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Sayadon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung tujuh pekerja yang terperangkap di dalam lubang pembentung itu sekitar jam 10.08 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, ketua operasi dimaklumkan bahawa lima orang pekerja telah dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk menerima rawatan.
“Manakala terdapat dua orang pekerja yang masih lagi terperangkap di dalam lubang pembetung tersebut. Saiz lubang pembetung tersebut dianggarkan 5.18 meter (m) (panjang), 4.11m (lebar) dan 2.4m (dalam).
“Kedua-dua mangsa lelaki warga tempatan berusia 29 dan 37 yang dikeluarkan oleh anggota bomba dari pembetung itu disahkan meninggal dunia oleh Pasukan Perubatan KKM (Kementerian Kesihatan),“ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan pemeriksaan seterusnya mengaplikasikan Konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dan mengarahkan anggota memakai pakaian perlindungan diri (PPE) berserta alat pernafasan sebelum turun ke dalam lubang pembentung untuk mengeluarkan mangsa.
“Anggota kemudiannya mengikat mangsa dengan menggunakan tali sebelum menarik mangsa keluar dari lubang pembetung tersebut.
“Mangsa yang dikeluarkan diperiksa oleh Pegawai Perubatan KKM yang kemudiannya mengesahkan kedua-duanya telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut,“ jelasnya.
Tambahnya, seorang lagi mangsa, lelaki warga Indonesia turut disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.
Operasi terkawal sekitar jam 11.05 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 12.25 tengah hari. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kilang proses telur masin terbakar