TAIPING – Dua kenderaan utiliti sukan (MPV) mewah antara 206 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan di seluruh negeri.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah sitaan yang direkodkan sehingga 28 Julai itu membabitkan 170 motosikal, 27 kereta termasuk sebuah Toyota Alphard dan Vellfire serta sembilan kenderaan barangan.
Katanya, dalam tempoh sama pihaknya berjaya mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pemandu warga asing dari Pakistan, Rohingya / Myanmar, Indonesia, Bangladesh, India, Nepal, Thailand, dan lain-lain negara.

“Kesalahan yang paling banyak dikesan adalah tiada lesen memandu iaitu 412 kes, diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (128 kes), tiada perlindungan insurans kenderaan (119 kes) dan sebagainya.
“Susulan itu, JPJ Perak mengeluarkan 790 Notis P22, 206 tindakan sita mengikut Seksyen 64(1) serta 186 notis lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Operasi PeWA di Depoh Sita, JPJ Cawangan Taiping, pada Rabu.
Mohammad Yusoff berkata, hasil semakan terhadap dua kenderaan mewah itu mendapati, salah satu daripadanya dimiliki sendiri oleh warga asing, manakala sebuah lagi disewa daripada syarikat penyewaan kenderaan.

“Statistik jelas menunjukkan bahawa isu ketidakpatuhan dalam kalangan pemandu warga asing masih wujud dan memerlukan tindakan penguatkuasaan yang berterusan,” katanya lagi.
Beliau berkata, hasil pemantauan dan operasi yang dijalankan JPJ setakat ini mendapati, kebanyakan kes membabitkan pemandu warga asing yang melanggar undang-undang lalu lintas dikesan berada di kawasan luar bandar.
Ujar beliau, terdapat juga kes di mana penggunaan semula kenderaan lusuh yang tidak layak untuk dilesenkan atau digunakan di jalan raya, telah dipandu warga asing selepas ia dibaik pulih.
“Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada isu ini antaranya sikap masyarakat yang mudah meminjamkan atau memberi keizinan menggunakan kenderaan peribadi kepada warga asing.
“Ia dikesan sering berlaku di kawasan pertanian yang mana ia memerlukan pekerja warga asing ini bergerak pada waktu tidak menentu. Bagaimanapun, kita masih mengkaji faktor-faktor lain berhubung hal ini,” jelasnya.

Pada masa sama, Mohammad Yusoff menegaskan bahawa, pemilik kenderaan berdaftar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan masing-masing terutama mereka yang dengan sengaja membenarkan warga asing memandu tanpa lesen sah.
“Pemilik kenderaan itu juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang. Oleh itu, sebelum hendak meminjamkan kenderaan, siasat dahulu siapa yang akan memandunya dan untuk tujuan apa.
“Saya melihat ada pihak yang seolah-olah mahu melepaskan tangan dalam hal ini, sedangkan tindakan perundangan juga boleh sampai kepada pemilik kenderaan itu,” katanya lagi.

Mengulas berkenaan operasi PeWA di Taiping yang dijalankan pada Rabu, Mohammad Yusoff berkata, sebanyak 18 motosikal telah disita dengan membabitkan penunggang warga Pakistan, Rohingya / Myanmar, Indonesia serta Bangladesh.
Beliau berkata, tiada lesen memandu dikesan sebagai kesalahan tertinggi dengan 32 kes, selain JPH Perak turut mengeluarkan 38 Notis P22 dalam operasi sama.
“Hasil operasi pada hari ini membuktikan bahawa masih terdapat segelintir pemandu warga asing yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya.
“Tindakan penyitaan kenderaan serta pengeluaran notis saman telah diambil terhadap kesalahan-kesalahan yang dikesan sepanjang operasi dijalankan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
39 pemandu kenderaan perdagangan positif dadah ditahan JPJ Perak


