IPOH – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memperketatkan aspek keselamatan dan perlindungan petugas kesihatan yang menjalankan misi sama ada melalui udara, darat dan laut.
Ia susulan tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang meragut empat nyawa petugas kesihatan selepas terhempas di Long Lellang, Sarawak.
Mereka ialah Pegawai Perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit Henry serta jururawat Debra Moset dan Jessie Paya Jok selain seorang juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham.
Presiden MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, kemalangan berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai kejadian terpencil kerana insiden membabitkan operasi FDS turut dilaporkan berlaku di Cameron Highlands pada 2022, Sabah (2024) dan Sarawak (2025).
Beliau turut membangkitkan isu kemalangan ambulans yang menurut kajian berasaskan data polis merekodkan purata 129 kemalangan setahun bagi lima tahun terpilih, termasuk sembilan kemalangan maut.
“Kerajaan perlu memastikan hanya pesawat, ambulans, bot dan kenderaan yang disahkan selamat serta sesuai dengan tujuan operasi digunakan membawa petugas kesihatan.
“Seharusnya helikopter atau pesawat yang digunakan oleh petugas perubatan hendaklah sama (dari segi keselamatan dan keupayaan) dengan yang dinaiki menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika selpas hadir pada Konvensyen Kebangsaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kongres Saintifik 2026 di AC Hotel by Marriot di sini, pada Khamis.
Hadir sama merasmikan konvensyen berkenaan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha.
Thirunavukarasu berkata, faktor usia aset, rekod penyelenggaraan, pensijilan keselamatan, peralatan kecemasan serta keadaan muka bumi dan cuaca perlu dinilai secara berkala.
Katanya lagi, MMA juga mencadangkan penubuhan pasukan petugas kebangsaan pelbagai disiplin bagi mengaudit keseluruhan sistem FDS, pemindahan perubatan udara, ambulans dan bot perubatan.
“Pasukan itu perlu melibatkan petugas klinikal, pakar kecemasan, pakar keselamatan penerbangan dan pengangkutan serta pihak berkaitan dari Sabah dan Sarawak.
“Pada masa sama, semua petugas perlu diberikan latihan keselamatan dan kecemasan yang sewajarnya serta hak menyuarakan kebimbangan atau menolak tugasan yang dianggap tidak selamat tanpa dikenakan tindakan.
“Lima nyawa yang terkorban di Long Lellang mesti menjadi titik perubahan kerana mencegah tragedi seterusnya adalah satu tanggungjawab,” katanya. -MG Perak


