BATU GAJAH – Seorang tukang kebun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh teman lelaki bekas kekasihnya di Kilometer (KM) 12, Jalan Trans Perak dekat Kampung Gajah minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Farizzal Fazly Mohd Zulkifly, 30, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia dituduh membunuh Muhammad Fahmi Abdullah, 29, di tepi jalan utama, Jalan Trans Perak dalam daerah Perak Tengah antara jam 4.30 pagi sehingga 5.49 pagi, 10 Jun 2026.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Jagdeep Singh Jaswant Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen laporan bedah siasat.
Difahamkan, lelaki itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan cubaan merogol bekas teman wanitanya pada hari sama di Seberang Perak, Kampung Gajah.
Sebelum ini media melaporkan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai membunuh teman lelaki bekas kekasihnya serta merogol wanita terbabit dalam kejadian di KM 12 Jalan Trans dekat Kampung Gajah pada 10 Jun lalu kurang 24 jam selepas kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dilaporkan berkata, suspek terbabit ditahan hasil operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Perlis di Terminal Bas Perlis Sentral Kangar, Perlis. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis berkas suspek bunuh teman lelaki bekas kekasih


