Umat Islam seluruh dunia perlu bersatu – Sultan Nazrin

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah umat Islam seluruh dunia perlu bangkit dan bersatu membantu masyarakat miskin terutamanya di negara berdepan konflik dan peperangan.

Baginda bertitah, dengan bilangan umat Islam yang begitu ramai beserta kekayaan dan keistimewaan, kebersatuan yang dibina akan dapat membentuk dasar yang mempengaruhi dunia Islam sekali gus memberi kesan positif kepada sleuruh umat Islam.

“Orang Islam mempunyai satu kalimah, satu kiblat dan satu al-Quran. Iman menyatukan ummah melalui teras ini, menggesa semua berdiri bersama. Bersatu melalui kebersamaan ini, walaupun yang paling miskin dan lemah boleh menjadi kuat.

“Namun, pada masa ini ummah tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu berjuta-juta umat Islam yang menderita dalam kemiskinan, malah membantu penduduk Gaza yang miskin.

“Melangkah ke hadapan, ummah mesti melakukan lebih banyak lagi untuk memastikan kekayaan dan kuasa kolektif digunakan untuk menyokong mereka yang kurang bernasib baik demi kebaikan, kesejahteraan dan kekuatan ummah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Ucaptama Diraja dan Majlis Perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya, di sini, pada Isnin.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Sultan Nazrin bertitah, laporan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan pemulihan tidak sekata yang berlaku di seluruh dunia.

Baginda bertitah, jurang antara negara yang mempunyai tahap pembangunan terendah dengan tertinggi semakin melebar di mana negara di hujung bawah indeks berisiko ketinggalan.

“Sejak Oktober 2022, dua konflik besar yang menjejaskan populasi majoriti Islam telah tercetus iaitu perang saudara Sudan dan konflik di Gaza sementara perang di Ukraine yang berlanjutan ke tahun ketiga mengakibatkan kesusahan ketara dan berpanjangan kepada rakyat negara itu.

“Merentasi konflik global ini, orang awam yang tidak berdosa sama ada beragama Islam atau tidak termasuk ribuan wanita dan kanak-kanak menanggung beban penderitaan, terbunuh, cedera dan dipaksa keluar dari rumah,” titah baginda.

Titah baginda lagi, rentetan trend HDI dan konflik dasyat tersebut, adalah wajar tumpuan diberikan kepada kemanusiaan.

“Ummah tidak berdiri bersama sehingga semua berdiri. Ummah juga tidak boleh berpuas hati untuk meninggalkan seorang ahli komuniti global di belakang. Sesungguhnya menjadi kewajiban ummah untuk saling membantu

“Jadi ummah mesti mengambil tindakan untuk membantu orang Islam dan bukan Islam yang lemah sebelum terlambat,” titah baginda.

Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia kali ke-7 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kali ini membawa tema Together We Stand: Muslims and Global Humanity.

Dianggarkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada ulama, pemimpin, intelektual, profesional dan masyarakat akan menghadiri persidangan itu selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kewangan sosial Islam mekanisme imbang kemiskinan global

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI