TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh kerjasama akademik dalam bidang psikologi dengan Institut Jantung Negara College (IJNC).
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pihak universiti menyambut baik usaha berkenaan dan percaya bahawa kerjasama tersebut akan meningkatkan lagi keupayaan akademik serta profesionalisme dalam bidang psikologi.
“Pihak UPSI berbesar hati dengan kunjungan tersebut dan optimis bahawa kerjasama ini mampu memberi manfaat besar bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada perkembangan akademik kedua-dua institusi.
“Kerjasama dengan IJNC ini amat penting kerana ia bukan sahaja memperkaya bidang psikologi di UPSI, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih luas dan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Md Amin, UPSI sentiasa terbuka untuk menjalin hubungan strategik dengan institusi pendidikan lain dalam usaha memperkasakan bidang akademik.
“Kami yakin dengan kepakaran yang ada di kedua-dua institusi, kerjasama ini dapat menghasilkan graduan yang lebih berdaya saing dan memenuhi keperluan industri,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJNC, Profesor Emerita Dr. Durrishah Idris berkata, pihaknya melihat UPSI sebagai rakan strategik yang berpotensi besar dalam memperkasa bidang psikologi di negara ini.
“Kami yakin bahawa kolaborasi ini bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada pelajar, tetapi juga membuka ruang kepada kajian bersama serta pemindahan ilmu yang lebih efektif antara kedua-dua institusi.
“IJNC komited untuk memastikan program yang ditawarkan memenuhi piawaian akademik tertinggi dan selari dengan keperluan industri kesihatan serta psikologi.
“Kerjasama ini diharapkan dapat melahirkan tenaga kerja profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan sektor kesihatan mental dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” katanya,
IJNC turut menyatakan hasrat untuk menjalankan program Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian secara francais dengan UPSI semasa kunjungan hormat daripada delegasi berkenaan pada 25 Mac lalu. -MG Perak