TAIPING –Penganjuran Malaysia Ultra-Trail by UTMB dianggarkan mampu menyumbang nilai ekonomi sehingga RM28 juta setahun kepada Taiping dan kawasan sekitarnya.
Pengarah Perlumbaan Malaysia Ultra-Trail by UTMB, Ewegene Tan berkata, ia menerusi perbelanjaan peserta, pengunjung serta kesan publisiti dan penyiaran yang terhasil daripada acara larian bertaraf antarabangsa itu.
Menurut beliau, data penganjuran acara larian denai itu pada 2024 dan 2025 merekodkan impak ekonomi antara RM14 juta hingga RM18 juta setahun kepada Taiping dan kawasan sekitarnya, sekali gus mengukuhkan kedudukan acara berkenaan sebagai pemangkin ekonomi pelancongan negeri.
“Berdasarkan data 2024, 2025 dan tahun-tahun sebelumnya, saya anggarkan impak ekonomi langsung adalah sekitar RM14 juta hingga RM18 juta setahun.
“Jika kita mengambil kira nilai penyiaran dan pengiklanan, jumlah keseluruhannya boleh mencecah antara RM18 juta hingga RM28 juta setahun,” katanya kepada pemberita di Dataran Warisan, di sini, pada Ahad.
Tan berkata, jumlah berkenaan menunjukkan Malaysia Ultra-Trail by UTMB bukan sekadar platform menguji ketahanan peserta, sebaliknya mempunyai potensi besar dalam merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Katanya, kehadiran ribuan peserta termasuk dari luar negara secara tidak langsung memberi limpahan kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan, peruncitan serta pelbagai perkhidmatan berkaitan pelancongan.
“Jumlah orang awam yang keluar memberikan sokongan kepada perlumbaan juga sangat menggalakkan dan perkara ini menunjukkan acara ini mendapat sambutan masyarakat.
“Selaku penganjur kami mahu melihat penglibatan masyarakat Taiping yang lebih besar pada penganjuran akan datang bagi memastikan manfaat ekonomi dan sosial acara itu dapat diperluaskan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasi peserta bagi semua kategori, Tan berkata, lebih 90 peratus peserta Malaysia Ultra-Trail by UTMB edisi ketiga berjaya menamatkan larian.
Katanya, ia sekali gus membuktikan tahap ketahanan dan kelancaran penganjuran acara larian denai berprestij itu ekoran kadar penamat melebihi 90 peratus bagi keseluruhan kategori menjadi antara ukuran utama kejayaan penganjuran tahun ini.
“Seperti yang anda tahu, kejayaan kami ditentukan berdasarkan jumlah peserta yang berjaya menamatkan perlumbaan dan kami mempunyai kadar penamat lebih 90 peratus.
“Selain itu kadar penamat yang tinggi turut direkodkan bagi setiap kategori yang dipertandingkan dengan masing-masing mencatatkan lebih 90 peratus,” katanya. -MG Perak


