Vale peruntuk RM5.6 juta bangunkan Manjung sebagai bandar lestari

MANJUNG – Syarikat perlombongan terkemuka dunia Vale, memperuntukkan RM5.6 juta bagi menyokong agenda pembangunan bandar lestari di daerah ini dalam tempoh dua tahun akan datang melalui kerjasama dengan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Ketua Pegawai Eksekutif Vale di Malaysia, Leonardo Paiva berkata, kerjasama di antara Vale dan MPM itu diterjemahkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara syarikat dari Brazil itu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Menurut Paiva, Vale menekankan nilai signifikan kerjasama bersama MPM dalam menjayakan matlamatnya bagi mencetuskan nilai yang lestari untuk komuniti dengan menjadikan Manjung sebagai bandar lestari di negeri ini.

“Vale amat teruja memulakan kerjasama bersama MPM untuk meningkatkan tahap kemajuan daerah Manjung melalui projek-projek berteraskan komuniti yang membawa nilai tambah jangka panjang kepada segenap lapisan masyarakat.

“Kerjasama Vale bersama MPM ini direncanakan untuk bermula bulan ini, dengan fasa pertama yang membabitkan pembinaan arca dan objek seni bandar lain yang menarik di Beruas dan Teluk Batik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoU di antara MPM dan Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd yang turut dihadiri Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching, di Dewan Merdeka MPM, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut Paiva berkata, Vale turut menyelitkan pelbagai elemen sosial dalam pembinaan objek seni bandar di Beruas, dimana sebagai contoh, mural yang akan ditempatkan di kawasan pekan Beruas akan dilukis oleh pasukan yang terdiri daripada artis tempatan yang berbakat, termasuklah artis-artis mural wanita.

Ujar beliau, pemilihan Beruas sebagai lokasi perintis dalam kerjasama Vale bersama MPM ini adalah berdasarkan sejarah yang bernilai di pekan tersebut.

“Beruas mempunyai landskap budaya yang unik, muzium arkeologi yang signifikan, komposisi penduduk yang berbilang kaum, dan suasana indah yang menggamit nostalgia.

“Dengan pembukaan jajaran penuh Lebuhraya Pantai Barat (LPB) tidak lama lagi, pekan Beruas berpotensi besar untuk tampil sebagai antara produk pelancongan yang menarik di Perak,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, selain di Beruas, kerja-kerja penambahbaikan akan dimulakan di Teluk Batik tidak lama lagi, yang sememangnya popular sebagai pantai pilihan golongan berkeluarga.

Beliau berkata, Teluk Batik merupakan antara produk pelancongan yang popular di daerah Manjung dan MPM amat teruja untuk bekerjasama bersama Vale dalam mengindahkan infrastruktur awam di pantai itu melalui pembinaan arca yang unik dan tarikan-tarikan yang lain.

“Pantai Teluk Batik terletak bersebelahan dengan Pusat Ekologi Vale (VEC), yang merupakan sebuah hab konservasi hutan yang dimiliki sepenuhnya oleh Vale dan sejak Oktober 2022, pusat ekologi ini melalui fasa penambahbaikan secara beransur-ansur yang melibatkan pelaburan sebanyak RM5 juta dari Vale.

“Kami mengenalpasti banyak potensi yang boleh diraih, sekiranya pantai Teluk Batik boleh dihubungkan dengan VEC sebagai produk pelancongan yang berintegrasi di masa hadapan.

Banyak impak positif boleh dijana untuk pengusaha hotel dan peniaga-peniaga kecil tempatan, sekiranya kekuatan kedua-dua destinasi ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

MoU yang ditandatangani Leonardo dan Syamsul Hazeman merangkumi kerjasama antara dua pihak dalam menjayakan beberapa projek strategik, seperti pembangunan semula bandar berteraskan elemen warisan di Beruas, penambahbaikan prasarana pelancongan di Teluk Batik, dan pembangunan ekosistem kebun-kebun bandar yang moden di beberapa kejiranan di sekitar daerah Manjung. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak sasar negeri sifar tapak pelupusan sampah menjelang 2030

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI