10 jenazah nahas helikopter TLDM dibawa pulang ke kampung masing-masing

IPOH – Kesemua 10 jenazah nahas helikopter terhempas di Lumut semalam melibatkan pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini petang tadi.

Keadaan persekitaran kelihatan suram sewaktu kenderaan jenazah milik TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) keluar dari perkarangan kawasan berkenaan diiringi polis.

Lapan daripada 10 jenazah dibawa ke Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Gua Permai di Tambun untuk solat jenazah di Surau Salahuddin Al Ayubi.

Mayat mendiang, Leftenan T Sivasutan akan dihantar kediamannya di Sitiawan manakala Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh untuk diterbangkan ke Serian, Sarawak menggunakan Pesawat C-130 Hercules milik TUDM sekitar 6 petang ini.

Kesemua lapan kenderaan jenazah dibawa keluar dari kem berkenaan untuk dihantar ke kampung halaman masing-masing.

Jenazah Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, Sitiawan manakala Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Nor, Rantau Panjang Selama di Perak.

Jenazah Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al- Muhtadin Sik Dalam manakala Bintara Muda Nor Rahiza Anuar di Tanah Perkuburan Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, Yan di Kedah.

Jenazah Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur manakala Leftenan Komander Amirulfaris Mohamad Marzukhi di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan.

Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Komander Muhamad Amir Mohamad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, Johor.

Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban dalam nahas itu akan dilaksanakan mengikut istiadat ketenteraan tradisi tentera laut di lokasi pengebumian masing-masing.

Terdahulu, proses bedah siasat yang mula dijalankan sejak semalam selesai sepenuhnya sekitar jam 2.20 petang.

Semalam, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec (M502-6) dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Senarai 10 mangsa nahas pesawat helikopter TLDM terhempas di Lumut

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI