IPOH – Sebuah pusat perlindungan haiwan terbakar mengakibatkan 10 ekor kucing mati di Simpang Pulai di sini pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.19 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut.
“Kebakaran melibatkan sebuah pusat perlindungan haiwan jenis kelas B berkeluasan 50×50 kaki yang musnah kira-kira 80 peratus.

“Kita dimaklumkan terdapat 50 ekor kucing di pusat berkenaan dengan 10 daripadanya ditemukan mati,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, keseluruhan kucing yang berada pusat berkenaan adalah sekitar 50 ekor, dengan 10 daripadanya ditemukan mati dalam kejadian itu.
Katanya, anggota menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan, selain memanfaatkan air daripada tangki jentera dan sumber air terbuka.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.04 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.00 malam,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anjing liar mati dipercayai terkena letupan, warga emas ditahan


