BAGAN DATUK – Sebanyak 153 aduan diterima Kerajaan Negeri Perak pada siri kelima Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) 2026 di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, pada Isnin.
Ia sekaligus menjadikan jumlah aduan yang direkodkan Kerajaan Negeri Perak sepanjang lima siri penganjuran Program MESRA HBP bermula awal tahun hingga Julai 2026 sebanyak 1,015.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehingga siri keempat, sebanyak 862 aduan telah direkodkan dengan 722 aduan atau 84 peratus berjaya diselesaikan.
Menurut beliau, baki 140 aduan atau 16 peratus masih dalam tindakan susulan jabatan serta agensi berkaitan.
“Program MESRA HBP terus berperanan sebagai saluran penting untuk rakyat mengemukakan permasalahan, mendapatkan penjelasan serta menyelesaikan urusan yang memerlukan tindakan secara bersama oleh pelbagai jabatan dan agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program berkenaan di sini, pada Isnin.
Tambah Saarani sebanyak 76 kaunter khidmat pelanggan, lima kaunter bergerak dan 14 reruai pameran disediakan pada siri kelima Program MESRA HBP di Dewan Dato’ Lope Hashim.
Katanya, ia bagi memudahkan rakyat berurusan secara terus dengan jabatan serta agensi kerajaan, selain mendapatkan barangan keperluan menerusi Jualan Murah dan Jualan Rahmah.
Program ini turut menyaksikan penyerahan replika cek premium tanah oleh tiga pembayar premium tanah tertinggi Daerah Bagan Datuk bagi tahun 2026, iaitu QL Foods, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Ghadaf Marble, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada kutipan hasil daerah. -MG Perak


