17,300 saringan mental direkodkan sejak MyMinda diperkenalkan

KUALA LUMPUR – Kurang sebulan perkhidmatan modul MyMinda diperkenalkan 21 Oktober lalu menerusi aplikasi MySejahtera, sebanyak 17,300 saringan mental direkodkan setakat 15 November, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, 23 peratus atau 3,983 saringan mental mempunyai risiko kemurungan, manakala 15 peratus atau 2,592 saringan didapati memiliki risiko keresahan.

“Individu-individu yang mempunyai risiko ini ada akses secara terus melalui MyMinda untuk mendapatkan bantuan kaunseling,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai pencapaian modul MyMinda sejak diperkenalkan dalam aplikasi MySejahtera.

Menjawab soalan asal Noraini berhubung status pengoperasian dan pencapaian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Dr Zaliha berkata kemudahan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 (Help with Empathy and Love) NCEMH telah merekodkan 26,139 panggilan berkaitan kesihatan mental setakat ini.

Dr Zaliha berkata jumlah itu merangkumi 16,942 pemanggil mendapat bantuan sokongan emosi dan 9,197 klien menerima intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling.

“Rekod juga mencatatkan 217 kes melibatkan tingkah laku bunuh diri meliputi 99 kes ialah idea bunuh diri dan 118 kes pula cubaan bunuh diri. Semua klien cubaan bunuh diri telah diberikan intervensi dan dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

–BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI