IPOH – Kira-kira 200 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Perkara itu dimaklumkan bekas Biro Kebajikan PKR Perak, Y Selva Kumar yang turut melepaskan jawatannya dan menyertai parti tersebut pada 17 Mei lalu.
Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Ipoh Barat, Kumar Rao berkata, keputusan itu dibuat berikutan kegagalan kepimpinan tertinggi PKR untuk menunaikan janji dan manifesto yang telah diperjuangkan.
Menurutnya, perjalanan proses Pemilihan Parti 2025 yang lalu, khususnya melibatkan keputusan jawatan Ketua Cabang turut menimbulkan pelbagai persoalan dan keraguan khususnya dalam kalangan ahli akar umbi.
“Bersama-sama saya seramai 12 AJK Cabang, dua AJK Wanita, enam AJK Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan masing-masing berkuat kuasa pada tarikh sama (17 Mei 2026).
“Selain itu, kami juga telah membuat keputusan untuk menamatkan keahlian dan meninggalkan PKR serta merta.
“Kami berharap agar wadah baharu ini dapat menjadi platform lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta membina sebuah Malaysia yang lebih adil, progresif dan berdaya saing,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini malam ini.
Sementara itu, Selva Kumar yang pernah memegang jawatan Naib Ketua dan Timbalan Ketua Cabang Ipoh Barat menegaskan keputusan beliau meninggalkan parti bukan didorong oleh pertimbangan jawatan, kedudukan atau kepentingan peribadi.
Sebaliknya beliau berkata, ia berasaskan keyakinan bahawa perjuangan politik mesti sentiasa dipandu prinsip, integriti dan kesediaan untuk mempertahankan nilai-nilai yang diyakini benar.
“Atas pertimbangan tersebut, saya dengan ini mengumumkan pengunduran diri daripada PKR dan mengambil keputusan untuk menyertai Parti Bersama.
“Saya percaya negara memerlukan sebuah gerakan politik yang berani melakukan pembaharuan, mengangkat budaya politik baharu serta meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala kepentingan lain,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemimpin PKR hadir majlis Parti Bersama perlu beri penjelasan


