BAGAN DATUK – Polis mengesahkan sekurang-kurangnya 62 pelajar menjadi mangsa buli pelajar senior di sebuah sebuah sekolah berasrama penuh di Teluk Intan pada 8 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, berdasarkan laporan, kesemua pelajar lelaki terbabit masing-masing berusia 14 dan 15 tahun telah dipaksa melakukan tekan tubi sehingga 200 kali.
Katanya, alasan tindakan dilakukan dua pelajar senior masing-masing tingkatan empat dan lima dikatakan mahu mendisiplinkan kesemua pelajar terbabit, namun dilakukan dengan cara salah.
Mohammad Ali berkata, kejadian itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan pertama daripada salah seorang pelajar pada 12 Mac lalu yang memberitahu mengalami bengkak tangan dan sakit otot.
“Walau bagaimanapun, setakat kelmarin (Jumaat) hanya tujuh mangsa telah tampil membuat laporan polis dan semua mereka telahpun direkodkan keterangan.
“Kemungkinan dalam kes ini ada usaha dilakukan untuk diselesaikan di peringkat sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di sini pada Ahad.
Tambah Mohammad Ali, polis sudah menyerahkan permohonan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 12 Mac lepas bagi merakam percakapan kedua-dua pelajar senior terbabit.
Kata beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan, sekumpulan pelajar Tingkatan Dua dan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh mendakwa menjadi mangsa buli apabila dipaksa melakukan tekan tubi selain dipukul ketika berkumpul di surau sekolah. – MG Perak
Artikel Berkaitan: