PTG Perak tambah baik proses pendaftaran tapak surau, masjid

IPOH – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak menambah baik proses bagi mempercepatkan penyediaan Pelan Warta, termasuk terhadap urusan pendaftaran tapak surau dan masjid baharu di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penambahbaikan itu melibatkan keperluan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) menghantar permohonan ukur kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi penyediaan Pelan Warta.

Menurutnya, bagi pelan kelulusan perizaban oleh pihak berkuasa negeri yang telah mempunyai Pelan Akui (PA) serta nombor lot yang diperuntukkan Pengarah Ukur, permintaan ukur tidak lagi perlu dikemukakan kepada JUPEM.

“Sebaliknya, PDT hanya perlu memaklumkan kepada JUPEM untuk direkodkan selepas proses pewartaan dan pembatalan warta selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Khamis.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, JUPEM Perak merekodkan sebanyak 687 Permintaan Ukur yang diterima daripada Pejabat Tanah Daerah di seluruh Perak membabitkan tapak yang melibatkan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tempoh tahun 2021 hingga 2026,

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 386 atau 56 peratus Permintaan Ukur telah diselesaikan dan Pelan Warta dihantar kepada PDT di negeri ini.

“Sebanyak 228 atau 33 peratus lagi telah selesai penyediaan draf Pelan Warta dan masih menunggu pengesahan daripada pihak PDT, manakala 73 atau 11 peratus masih dalam tindakan penyediaan draf warta oleh JUPEM negeri,” katanya.

Beliau berkata, sistem ‘eKadaster’ turut digunakan sepenuhnya bagi semua Permintaan Ukur yang diterima daripada Pejabat Tanah Daerah bagi mempercepatkan proses penyediaan Pelan Warta.

Dalam pada itu, Saarani menjelaskan bahawa pendaftaran surau hanya boleh dibuat kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) selepas tapak bangunan yang hendak digunakan sebagai masjid atau surau dijadikan wakaf yang berkekalan.

“Justeru, anggota jawatankuasa surau hendaklah berurusan dengan MAIPk terlebih dahulu bagi menguruskan perwakafan tapak bangunan berkenaan,” katanya lagi.

Menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) mengenai tempoh proses pewartaan dan urusan tanah yang mengambil masa panjang, Saarani berkata, kelewatan dalam sesetengah kes boleh berlaku apabila dokumen tambahan diperlukan.

Ujar beliau, keadaan itu termasuk apabila sesuatu hak milik tanah mempunyai lebih daripada seorang penama dan memerlukan pengesahan semua pihak yang dinamakan dalam geran.

“Kadangkala sebahagian daripada mereka telah meninggal dunia dan waris perlu dicari, selain ada yang belum melalui proses bicara kuasa, menyebabkan urusan berkenaan mengambil masa,” jelasnya.

Oleh itu Saarani berkata, pihaknya bersedia meneliti kes tertentu yang didapati mengambil masa terlalu lama bagi mengenal pasti punca dan mendapatkan penjelasan daripada jabatan berkaitan.

“Kalau ada perkara yang sangat spesifik, tolong maklumkan kepada saya supaya saya dapat menjadikan perkara itu sebagai bahan rujukan dan kita akan rujuk kembali kepada jabatan-jabatan berkenaan,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Hari Kebangsaan: Sultan Nazrin berangkat ke majlis bacaan Yasin, perasmian masjid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI