KUALA LUMPUR – Sebanyak 63 kematian direkodkan dari 1,059 kes kemalangan melibatkan aktiviti pendakian dan rekreasi hutan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi tempoh 2021 hingga 2025 turut merekodkan 87 kes kecederaan akibat insiden berkaitan aktiviti pendakian.
Menurut beliau, angka tersebut menunjukkan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem pengurusan risiko yang lebih tersusun dan piawaian keselamatan yang komprehensif di semua laluan pendakian negara.
“Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah membangunkan Garis Panduan Kebangsaan Penilaian dan Pengurusan Risiko Gunung (MoGRAM).
“Inisiatif itu mendapat sokongan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP),” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, garis panduan itu berfungsi sebagai rujukan teknikal utama dalam menilai risiko, mengurus kapasiti laluan pendakian serta memperkukuh langkah mitigasi bagi mengurangkan insiden kemalangan.
“Dalam usaha mempertingkatkan keselamatan di kawasan berisiko tinggi, kerajaan turut mewajibkan penggunaan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 lokasi pendakian yang dikenal pasti,” katanya.
Jelasnya, setakat ini seramai 2,322 individu daripada komuniti setempat termasuk masyarakat orang asli telah ditauliahkan sebagai MGP bagi membantu aspek panduan laluan, pemantauan keselamatan dan tindak balas kecemasan.
“Peranan mereka bukan sahaja sebagai jurupandu arah, tetapi juga sebagai barisan hadapan dalam memastikan pematuhan kepada prosedur keselamatan serta membantu operasi menyelamat sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kawasan perlindungan di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) turut mengadaptasi standard antarabangsa ISO 21101:2014 Adventure Tourism Safety Management System (ATSMS).
“Ia bagi memperkukuh pengurusan keselamatan aktiviti kembara dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Piawaian tersebut merangkumi pengurusan risiko, kompetensi kakitangan, prosedur kecemasan serta penyelenggaraan kemudahan dan peralatan,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkata, kerajaan turut mewajibkan saringan kesihatan awal pendaki, penggunaan pemandu pelancong alam semula jadi bertauliah, taklimat keselamatan mandatori serta penutupan sementara laluan tertentu ketika musim monsun.
“Pendekatan bersepadu itu diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Jabatan Standard Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pemain industri.
“Keselamatan pendaki bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan komitmen semua pihak agar setiap aktiviti rekreasi dapat dijalankan dengan lebih teratur, selamat dan bertanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


