67 daerah dikenal pasti lokasi banjir sewaktu MTL

BAGAN DATUK – Sebanyak 67 daerah di Malaysia dikenal pasti lokasi yang sering dilanda banjir sewaktu Monsun Timur Laut (MTL) bermula pertengahan November ini dan dijangka berakhir Mac 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sepanjang tempoh itu beberapa bantuan yang diperlukan turut diberikan kepada daerah yang terlibat.

Menurutnya, antaranya koordinasi antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi penguatkuasaan lain yang merangka pelan tindakan serta strategi sepanjang tempoh berkenaan.

“Tanda-tanda MTL sudah bermula dengan hujan melebihi tahap biasa dan ia digunakan sebagai indikator untuk kesiap siagaan menghadapi musim tersebut.

“Sehubungan itu, kita telah menerima senarai mangsa banjir turut diperolehi daripada jawatankuasa di peringkat daerah .

“Pada masa sama, Nadma turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan pusat pemindahan kekal (PPK) di sekolah yang selama ini sudah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2023 peringkat Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata PPK juga diwujudkan di beberapa sekolah di semenanjung, Sabah dan Sarawak dan jika tiada banjir, PPK tersebut akan digunakan sebagai dewan sekolah.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, Nadma telah menempah tujuh jambatan Bailey tambahan sebagai persediaan untuk kawasan-kawasan infrastruktur yang telah dikenal pasti akan dilanda banjir besar.

Katanya, pemasangan jambatan itu akan dilakukan Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya peringkat negeri dan Kementerian Kerja Raya di peringkat pusat. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI