IPOH – Perak FC mengumumkan pemain import baharu dari Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov, bagi menguatkan pasukan bola sepak itu menghadapi saingan Liga Malaysia 2024/2025, malam tadi.
Pemain berusia 21 tahun yang juga kapten pasukan bawah 23 tahun (B-23) Kyrgyzstan itu akan memperkemas barisan tengah skuad The Bos Gaurus bagi menghadapi liga musim ini.
Selain itu, pada Perak FC turut mengekalkan Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah serta dua pemain musim lalu iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor dan Firdaus Saiyadi.
Pengumuman itu dibuat di hadapan hampir 1,000 hadirin pada Majlis Pelancaran Jersi ‘Home’ Perak FC 2024/2025 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dekat sini, malam tadi.
Ia turut dihadiri dua pemain legenda bola sepak negeri iaitu Datuk M Karathu dan Chan Kok Heng.
Pada majlis berkenaan, The Bos Gaurus turut melancarkan kit jersi utama berwarna kuning dan hitam bagi menyemarakan skuad menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
Jersi dengan jenama Cheetah itu dijual pada harga RM159 sehelai untuk ‘player issue’ manakala RM39 bagi ‘fan issue’.
Di samping itu, Perak FC juga melancarkan tiga jenis pas bermusim pada kadar harga RM189 bagi Kategori Perak; RM300 (Emas) dan pas bermusim premium RM1,250 (Hitam).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin ketika ditemui berkata, beberapa perancangan sedang diatur bagi memastikan skuad The Bos Gaurus bersedia dalam menghadapi pra musim pada 1 Mac depan.
Katanya, ia juga melibatkan acara jelajah kesemua pemain skuad berkenaan di semua daerah menjelang sepak mula Liga Malaysia nanti.
Pada masa sama, Bobie Farid memaklumkan, pihaknya memberi bayangan akan mengikat penjaga gol kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Muhammad Haziq Nadzli untuk musim ini.
“Kanybekov adalah pemain terbaharu yang kita umum selepas antaranya Mohamad Ramadhan Ab Hamid, Nur Azfar Fikri Azhar dan Tommy Mawat Bada sebelum ini.
“(Berkenaan dengan status Muhammad Haziq) ia masih dalam perancangan, kerana selagi tiada sebarang surat pengesahan kontrak ditandatangani, ia belum dapat disahkan. Namun perbincangan dengan Muhammad Haziq memang ada,” ujarnya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: