LUMUT – Cadangan pemansuhan kuota 30 peratus wanita dilantik sebagai pembuat keputusan yang menjadi dasar kerajaan sebelum ini, perlu mempunyai jaring keselamatan (safety net), kata, Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Menurut beliau, ia bagi memastikan kedudukan golongan berkenaan terjamin, sekiranya kuota tersebut dihapuskan seperti yang dicadangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Saya sebenarnya menyokong apa yang dicadangkan Yang Berhormat Menteri (YBM), Datuk Seri Nancy, namun terdapat kebimbangan dalam hal ini dan Puteri UMNO merasakan perlu ada ‘safety net’ kepada wanita dalam jangka masa panjang.
“Sekarang ini memang kita lihat terdapat lebih 50 peratus penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan swasta dan sebagainya, tetapi keterlibatan wanita dalam dunia politik masih lagi rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir bersama pada Program Bicara Santai Puteri Perak Bersama G5 Bahagian-Bahagian di Teluk Batik, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Siti Sokleha Nordin dan Ketua Puteri UMNO Perak, Sarah Syazwani Saari.
Nurul Amal berkata, penekanan penglibatan golongan wanita di dalam Dewan Negara misalnya perlu diberikan perhatian memandangkan mereka yang memperjuangkan soal keganasan rumah tangga, gangguan seksual, kesihatan mental, ekonomi dan keluarga.
“Mungkin YBM boleh dapatkan lebih banyak maklumat daripada pelbagai lapisan golongan wanita berkenaan isu ini dan wujudkan ‘safety net’ bagi menjamin kedudukan wanita.
“Ini kerana ‘safety net’ bertindak sebagai jaring keselamatan bagi menjamin bahawa apabila tiada kuota berkenaan , englibatan kaum wanita dalam membuat keputusan masih tinggi tanpa dikurangkan,” katanya.
Terdahulu Malaysia Gazette melaporkan kerajaan perlu menghapuskan dasar menetapkan 30 peratus kuota wanita sebagai pembuat keputusan dan sebaliknya peranan wanita dalam bidang profesional tidak harus lagi disekat seperti sebelum ini.
“Kita tidak sepatutnya ada apa-apa (had) siling (seperti) dari segi 30 peratus itu. Kalau dalam sektor awam kita dah sampai 42 peratus, jadi (tak patut) kalau kita nak letak seperti 50 peratus atau apa-apa (had).
“Tak sepatutnya ada ditetapkan siling lagi…kita (wanita) sepatutnya boleh bergerak secara bebas tidak perlu disekat lagi,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kurniaan darjah kebesaran manifestasi buat wanita di Perak – Salbiah
Perak ukir sejarah, hakim wanita dilantik di Mahkamah Rayuan Syariah