Banduan Penjara Taiping merusuh, tiga warden cedera

TAIPING – Tiga warden mengalami kecederaan ringan dalam insiden lapan banduan merusuh di Penjara Taiping, dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu sekitar jam 7 malam hari sama.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku sekitar jam 3.30 petang itu berpunca daripada provokasi serta pentengkaran antara banduan dan warden penjara di situ.

“Ketika kejadian, lapan banduan terbabit yang selesai menjalani kuarantin di Pusat Koreksional Kamunting baru mendaftar masuk ke Penjara Taiping.

“Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka telah melakukan provokasi terhadap warden, namun telah diberi teguran.

“Akibat rasa tidak berpuas hati, banduan terbabit mula bertengkar dengan seorang daripada mereka dan menolak warden,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Mohamad Nasir, ketika tindakan sedang diambil, dua lagi banduan turut masuk campur sehingga menyebabkan warden lain membantu sebelum berlaku pergelutan.

Ujar beliau, ketiga-tiga warden yang masing-masing berusia 27, 41 dan 48 tahun telah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

“Sementara lapan banduan berusia antara 24 hingga 45 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” jelas beliau. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PATI lolos: Tujuh Rohingya menyorok dalam ladang sawit dikesan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI